KUALA LUMPUR 3 Sept – Permintaan pelanggan yang semakin melonjak dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan Aurelius Technologies Berhad dalam separuh kedua tahun kewangan 2025 (2HFY25).
Keyakinan positif ke atas syarikat tersebut disuarakan Maybank Investment Bank (Maybank IB) yang mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran masih tidak berubah kepada RM1.19 sesaham.
Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa lonjakan permintaan datang daripada pelanggan sedia ada serta baharu khususnya dalam segmen Komersial dan Industri (C&I) dan Komponen Semikonduktor (SC).
"Peningkatan ini turut diperkukuhkan oleh inisiatif pengenalan produk baharu (NPI) yang sedang berjalan dan digerakkan secara agresif pihak pengurusan," kata firma itu dalam nota kajiannya.
Pelanggan utama dalam segmen SC tambah Maybank IB, sedang menghadapi lonjakan permintaan produk, yang turut mendorong Aurelius Technologies meningkatkan kapasiti serta kecekapan pengeluaran.
Kata firma berkenaan lagi, kadar hasil secara bulanan direkodkan kumpulan rumusan teknologi tersebut dijangka lebih tinggi menjelang akhir 2025 termasuk dalam segmen Peranti Elektronik (ED).
Ia juga kata firma tersebut, menunjukkan pemulihan secara ketara susulan penstabilan pelanggan utama serta peningkatan pengeluaran oleh pelanggan dalam bidang automotif dan sistem pos.
"Aurelius Technologies turut menyatakan sedang dalam perbincangan dengan potensi pelanggan baharu dalam segmen C&I, yang dijangka memberikan sumbangan positif mulai tahun depan," kata Maybank IB.
Ketika ini tambahnya, tiga kilang utama iaitu P1 hingga P3 beroperasi pada kadar utilisasi sekitar 90%, manakala kilang kelima (P5) masih di peringkat awal dengan kadar penggunaan 10%.
Kapasiti tambahan katanya, sedang dirancang bagi memenuhi permintaan masa depan, tetapi walaupun risiko tarif dan kenaikan kos operasi menjadi kebimbangan, syarikat itu sudah lebih bersedia.
Ia kata Maybank IB, menjangkakan pelanggan akan menyerap sebahagian kos melalui mekanisme harga yang fleksibel, membolehkan margin kekal stabil, sekali gus menyokong pertumbuhan pendapatan.
“Permintaan kebiasaannya meningkat pada tempoh 2H, dan dengan sokongan pelanggan serta struktur kos secara terkawal, kami menjangkakan keputusan kewangan yang lebih kukuh,” menurutnya.
Firma itu juga menyatakan Aurelius Technologies kekal penerima manfaat utama kepelbagaian rantaian bekalan global, dengan pendedahan kepada pelanggan antarabangsa dalam pasaran unik. - DagangNews.com








