KUALA LUMPUR 3 April — Topmix Berhad memperkukuh pelan pengembangan apabila memperuntukkan RM18.97 juta untuk memperoleh dua bidang tanah industri di Mukim Pulai, Daerah Johor Bahru, Johor.
Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, langkah pembelian aset berkenaan sebagai strategi syarikat itu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan logistik dalam jangka panjang.
Anak syarikat milik penuhnya, Topmix Resources Sdn Bhd, menandatangani dua perjanjian jual beli berasingan dengan Kesas Kenangan Sdn Bhd bagi memperoleh tanah berstatus pegangan bebas tersebut.
"Kedua-dua tanah tersebut masing-masing berkeluasan kira-kira 5,058 meter persegi dan kemudian akan dibangunkan dengan kilang berkembar, yang setiap satu bernilai RM9.485 juta," kata Topmix.
Lokasi tanah yang terletak dalam zon perindustrian matang di Johor Bahru menawarkan kelebihan strategik dari segi akses kepada rangkaian logistik utama termasuk Lebuhraya Pasir Gudang.
Jelas kumpulan berkenaan, kedudukan hartanah itu juga tidak jauh daripada Lebuhraya Utara-Selatan, serta dekat dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Langkah pengambilalihan tanah tersebut tambah Topmix, dijangka meningkatkan kecekapan rantaian bekalan syarikat itu serta menyokong keperluan operasi yang diramalkan semakin berkembang pesat .

"Pemerolehan ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperluaskan kapasiti operasi serta memperkukuhkan infrastruktur pembuatan dan gudang," katanya dalam makluman tersebut.
Selain itu jelasnya, pembangunan di tanah berkenaan juga memberi fleksibiliti operasi jangka panjang serta membolehkan syarikat dapat memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
Pembelian tersebut kata Topmix, akan dibiayai sepenuhnya secara tunai melalui gabungan dana dalaman syarikat dan pinjaman bank, dengan struktur pembiayaan akhir akan ditentukan kemudian.
Pembinaan kilang di atas kedua-dua tanah itu tambahnya, dijangka siap dalam tempoh 36 bulan, manakala keseluruhan transaksi berkenaan disasarkan selesai menjelang separuh pertama 2029.
"Pengambilalihan ini tidak memberi kesan material terhadap hasil, aset bersih atau pegangan saham bagi tahun kewangan semasa, namun dijangka menyumbang positif dalam jangka panjang," katanya.
Topmix turut memaklumkan yang tiada kepentingan daripada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam transaksi tersebut.
Setakat 31 Disember 2025, kumpulan berkenaan ujarnya mempunyai tunai dan setara tunai sebanyak RM36.59 juta. - DagangNews.com








