Top Glove mampu pertahan margin pada FY26 disokong kos bahan kimia lebih rendah — MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Top Glove mampu pertahan margin pada FY26 disokong kos bahan kimia lebih rendah — MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 JunTop Glove Corporation Berhad dilihat mampu mempertahankan margin sepanjang FY26 meskipun berdepan potensi kenaikan tarif gas asli sehingga 40%, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut menambah, perkembangan positif berkenaan disokong oleh trend penurunan kos bahan kimia yang semakin ketara, terutamanya Nitrile Butadiene Rubber (NBR) bermula Jun 2026.

 

Harga murah itu dijangka bertindak sebagai penampan kepada peningkatan kos utiliti pada separuh kedua 2026, dan membantu pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu mengekalkan tahap keuntungan.

 

"Pada masa sama, prestasi Top Glove bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mei 2026 (9MFY26) turut mengatasi jangkaan apabila keuntungan teras meningkat lebih 100%," jelas MBSB Research dalam nota.

 

Ujar firma itu, untung bersih melonjak 133% tahun ke tahun (YoY) kepada RM210 juta berbanding hanya RM39 juta bagi tahun kewangan sebelumnya, manakala hasil bertambah 15% kepada RM3 bilion.

 

Prestasi terbaik ini melebihi jangkaannya sendiri dan konsensus pasaran, didorong oleh peningkatan harga jualan purata (ASP) serta pertumbuhan volum jualan yang lebih kukuh di pasaran utama.

 


Artikel berkaitan: Untung bersih Top Glove melonjak 133% kepada RM81 juta pada suku ketiga FY26

 

Top Glove_DagangNews2026

 

Tambah MBSB Research, ASP sarung tangan Top Glove meningkat 17% kepada AS$26 (RM107) bagi setiap 1,000 keping, membolehkan syarikat mengimbangi kenaikan kos bahan mentah yang berlaku sebelum ini.

 

"Dari segi permintaan, jualan naik 41% YoY dengan pertumbuhan kukuh dicatatkan di Asia (+64%), Eropah Barat (+58%) dan Amerika Latin (+52%), meskipun di Timur Tengah pula menurun 18%.

 

Kata firma tersebut, kadar penggunaan kapasiti yang susut kepada 86% pada suku ketiga FY26 bukan mencerminkan kelembapan permintaan, sebaliknya berpunca daripada peningkatan kapasiti operasi.

 

Top Glove ketika ini jelas MBSB Research, mengekalkan kapasiti terpasang 95 bilion keping setahun, dan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 72 bilion keping menjelang akhir FY26.

 

Justeru, ia turut melihat kelebihan struktur operasi 51 kilang serta keupayaan penukaran barisan pengeluaran antara sarung tangan nitril dan getah asli sebagai faktor penting mengekalkan margin.

 

"Sehubungan itu, kami menaikkan unjuran hasil bagi FY26 hingga FY28 masing-masing 50%, 55% dan 62%, serta harga sasaran (TP) saham disemak kepada 88 sen daripada 78 sen sebelum ini," jelasnya.

 

MBSB Research juga mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Top Glove, dipacu pemulihan industri sarung tangan global dan pertumbuhan permintaan yang stabil. - DagangNews.com