KUALA LUMPUR 19 Jun - Harga minyak sawit mentah diunjur diniagakan dalam lingkungan RM4,400 hingga RM4,650 satu tan metrik pada Julai ini, disokong oleh prospek bekalan yang semakin ketat di Indonesia serta peningkatan risiko fenomena El Nino.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, unjuran itu dibuat ketika pasaran minyak sayuran global berdepan ketidaktentuan susulan perubahan dasar biofuel, gangguan bekalan serta peningkatan kos input.
"Memandang ke hadapan, harga minyak sawit mentah dijangka bergerak dalam julat RM4,400 hingga RM4,650 satu tan pada Julai, disokong oleh prospek bekalan Indonesia yang semakin ketat dan peningkatan risiko El Nino," kata MPOC dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut MPOC, pengeluaran minyak sawit Malaysia susut 6.9% bulan ke bulan kepada 1.51 juta tan pada Mei lalu.
Penurunan itu sebahagiannya disebabkan pokok kelapa sawit memasuki fasa rehat sementara selepas mencatat pengeluaran lebih tinggi daripada kebiasaan antara Oktober 2025 hingga Mac 2026.
Selain itu, Mei mempunyai dua hari cuti umum berbanding tiada pada April, sekali gus mengurangkan jumlah hari penuaian.
Eksport meningkat walaupun penghantaran Mei perlahan
MPOC berkata, penyusutan eksport pada Mei sememangnya dijangka berikutan aktiviti pembelian yang lebih perlahan pada Mac dan April susulan ketidaktentuan harga yang tinggi, yang diterjemahkan kepada penghantaran lebih rendah pada Mei dan Jun.
Bagaimanapun, eksport terkumpul bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 meningkat sebanyak 783,000 tan atau 13.8%.
Peningkatan terbesar dicatatkan bagi eksport ke India, Kenya dan Vietnam yang secara keseluruhan bertambah sebanyak 749,000 tan.
Rantau Afrika Sub-Sahara dan ASEAN pula terus muncul sebagai pasaran pertumbuhan penting bagi minyak sawit Malaysia.
Dalam tempoh lima bulan pertama 2026, kedua-dua rantau itu menyumbang 36% daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia berbanding hanya 25% lima tahun lalu pada 2022.
"Rantau Afrika Sub-Sahara dan ASEAN terus muncul sebagai pasaran pertumbuhan penting bagi minyak sawit Malaysia," katanya.
Minyak kacang soya AS hilang daya saing
Pada separuh pertama 2026, minyak kacang soya Amerika Syarikat (AS) dan minyak rapeseed mendahului kenaikan dalam kompleks minyak sayuran dengan masing-masing meningkat 59% dan 16% sejak awal tahun.
Kenaikan itu dipacu mandat biofuel AS serta sekatan di bawah kredit cukai biofuel 45Z yang memihak kepada bahan mentah dari Amerika Utara.
Sebagai perbandingan, harga minyak kacang soya Amerika Selatan, minyak bunga matahari dan minyak sawit Malaysia hanya meningkat sederhana antara 8% hingga 10%.
Premium luar biasa tinggi minyak kacang soya AS sejak Mac 2026 turut menjejaskan daya saing eksport komoditi itu dengan ketara.
Eksport minyak kacang soya AS merosot kepada hanya 11,000 tan pada Mei 2026, paras terendah dalam tempoh 19 bulan.
"Eksport dijangka terus lembap sekiranya premium tersebut berterusan, menyebabkan pengimport global semakin bergantung kepada bekalan dari Amerika Selatan," menurut MPOC.
Dasar B50 Indonesia dijangka ketatkan bekalan
Sehingga pertengahan Jun, minyak kacang soya AS diniagakan pada premium AS$580 satu tan berbanding minyak kacang soya Argentina.
Pada masa sama, bekalan minyak sawit yang boleh dieksport Indonesia dijangka semakin ketat bermula akhir suku ketiga hingga suku keempat 2026 berikutan pelaksanaan dasar B50 pada Julai 2026, pengeluaran yang mendatar serta permintaan awal yang lebih tinggi.
Oil World mengunjurkan pengeluaran minyak sawit Indonesia kekal hampir tidak berubah pada 49.4 juta tan pada 2026.
Namun, eksport dan penggunaan domestik negara itu dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini meningkat secara gabungan sebanyak 2.2 juta tan atau 15%.
Keadaan itu dijangka mendorong pengimport global mengalihkan sebahagian sumber bekalan mereka ke Malaysia bagi mendapatkan kestabilan bekalan yang lebih baik.
Kos baja yang tinggi susulan konflik antara AS dan Iran juga berpotensi mengurangkan penggunaan baja dalam kalangan pekebun kecil di Malaysia dan Indonesia, walaupun kesannya hanya akan dapat dilihat selepas beberapa bulan.
Inventori tinggi mungkin hadkan kenaikan harga
Dalam pada itu, stok minyak sayuran di pasaran pengimport utama meningkat dengan ketara berikutan penggunaan jangka pendek yang lebih lemah akibat tekanan inflasi.
Stok minyak sayuran India mencapai paras tertinggi dalam tempoh 17 bulan iaitu 2.2 juta tan pada Mei, manakala stok minyak sayuran China meningkat kepada hampir 2.0 juta tan, tertinggi setakat 2026.
Paras inventori yang tinggi di kedua-dua pasaran itu berpotensi memperlahankan permintaan import dalam tempoh terdekat.
Walaupun ladang kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia masih belum terjejas setakat Jun, kebarangkalian berlakunya El Nino yang lebih kuat mulai Julai atau Ogos semakin meningkat.
Fenomena El Nino yang kuat boleh mengurangkan taburan hujan dan membawa keadaan lebih kering di Asia Tenggara, Australia serta India.
Bagaimanapun, kesannya terhadap hasil dan pengeluaran sawit hanya akan dapat dilihat selepas tempoh antara sembilan hingga 12 bulan.
Namun begitu, MPOC berkata, kenaikan harga MSM mungkin dihadkan oleh inventori minyak sayuran yang masih tinggi di pasaran pengimport utama.
"Ekonomi biodiesel juga dilihat kurang menyokong apabila harga gasoil jatuh di bawah harga minyak sawit dalam pasaran niaga hadapan," katanya. - DagangNews.com








