KUALA LUMPUR 4 Mei — Top Glove Corporation Berhad mengukuhkan kedudukan di peringkat global apabila disenaraikan dalam S&P Dow Jones Best in Class Index (BIC) 2026 bagi tahun ketujuh berturut-turut.
Menurut kenyataan kumpulan itu, syarikat tersebut kekal sebagai satu-satunya wakil Malaysia dalam sektor peralatan dan pembekalan penjagaan kesihatan di bawah indeks pasaran negara yang membangun.
Pencapaian ini jelasnya, dipacu prestasi kukuh dalam penilaian S&P Global Corporate Sustainability Assessment (CSA) 2025, yang sebelum ini dikenali sebagai Indeks Kelestarian Dow Jones (DJSI).
"Top Glove mengatasi purata industri dan muncul sebagai pengeluar sarung tangan dengan skor paling tinggi dalam kalangan rakan serantau termasuk Malaysia dan Thailand," kata syarikat berkenaan.
Ujarnya, kekuatan utama kumpulan ini terletak pada tadbir urus dan pengurusan risiko yang mantap, disokong amalan etika perniagaan tinggi, kualiti produk serta pelaporan kelestarian yang telus.
Selain itu jelasnya, pengurusan modal insan turut menjadi faktor penting, dengan penekanan terhadap tahap pembangunan bakat pekerja, keselamatan tempat kerja dan kesejahteraan tenaga kerja mereka.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata, pengiktirafan berterusan ini membuktikan komitmen syarikat mengintegrasikan amalan kelestarian dalam operasi.
“Prestasi ini mencerminkan disiplin tadbir urus, ketelusan tinggi serta komitmen mendalam terhadap pembangunan modal insan, yang kekal sebagai faktor kritikal dalam perniagaan kami,” katanya.
Kumpulan berkenaan tambahnya, turut mencatat tahap ketelusan data melebihi 90%, pengurusan alam sekitar yang baik serta tiada kontroversi amalan alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) utama.
Perkembangan positif tersebut sekali gus mengukuhkan reputasi Top Glove sebagai pengeluar penjagaan kesihatan global yang bertanggungjawab dengan sejumlah 51 kilang dan kira-kira 10,200 pekerja.
Indeks S&P Dow Jones BIC menilai rapi sesebuah syarikat berdasarkan kepada prestasi kelestarian dengan merangkumi dimensi ekonomi, alam sekitar dan sosial mengikut aspek industri masing-masing.
Top Glove kini mengendalikan kilang di Malaysia, Thailand dan Vietnam dengan kapasiti pengeluaran sehingga 95 bilion sarung tangan setahun, selain mengeksport ke lebih 195 negara di seluruh dunia. - DagangNews.com








