Top Glove dibimbangi terjejas akibat pengembangan agresif pengeluar di China - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Top Glove dibimbangi terjejas akibat pengembangan agresif pengeluar di China - Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Jun — Pertumbuhan Top Glove Corporation Berhad dibimbangi terjejas berikutan pengembangan kapasiti secara agresif pengeluar sarung tangan di China, menurut Phillip Capital.


Firma penyelidikan tersebut berkata, ia antara risiko penurunan besar yang diunjur berlaku dalam masa terdekat menjelang berakhir tempoh penangguhan tarif Amerika Syarikat (AS) awal Julai 2025.


Selain itu tambahnya, kumpulan berkenaan juga diramal mengalami pemulihan permintaan yang lebih perlahan daripada jangkaan dan peningkatan harga bahan mentah iaitu getah dalam pembuatan produk.


"Prospek Top Glove dikhuatiri berisiko menurun disebabkan penyusutan harga jualan purata (ASP) dan kadar penggunaan lebih lemah daripada jangkaan," kata Phillip Capital dalam nota kajiannya.


Pada masa sama, firma itu berpendapat, peluasan cukai jualan dan perkhidmatan bermula 1 Julai 2025 turut akan meningkatkan kos pengeluaran kumpulan berkenaan sebanyak dua hingga tiga peratus.


Pertambahan tersebut katanya, berikutan ia banyak bergantung kepada bekalan bahan mentah yang selama ini didapati menyumbang kira-kira 45 peratus daripada keseluruhan jumlah kos pengeluaran.


Bagaimanapun Phillip Capital menjangkakan trajektori pendapatan Top Glove akan bertambah baik pada FY26 hingga FY27, disokong oleh pemulihan dalam penggunaan kapasiti dan volum jualan.


"Kami mengandaikan peningkatan beransur-ansur dalam kadar penggunaan, meningkat kepada 75 peratus pada FY26 dan 80 peratus pada FY27E, mengambil kira permintaan sarung tangan global," katanya.


Pemulihan ASP tambah firma itu, kekal perlahan disebabkan tekanan harga berterusan daripada persaingan yang semakin sengit dan ia mengunjurkan kekal stabil sepanjang 2026 sehingga 2027.


Berdasarkan perkembangan semasa itu, Phillip Capital mengekalkan saranan "pegang" kepada Top Glove namun harga sasaran sesaham diturunkan kepada 71 sen berbanding 83 sen sebelum ini.


Penilaian tersebut katanya, dengan merujuk keadaan lebihan bekalan industri secara berterusan serta faktor ketidaktentuan yang menyelubungi dasar tempatan dan global. - DagangNews.com