Tomei bekerjasama dengan anak syarikat Ta Yoong dalam perniagaan pajak gadai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tomei bekerjasama dengan anak syarikat Ta Yoong dalam perniagaan pajak gadai

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Tomei Consolidated Berhad bekerjasama dengan pengendali pajak gadai, Ta Yoong Group bagi menceburi perniagaan pajak gadai.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Tomei berkata, anak syarikat milik penuhnya, Tomei Services Sdn Bhd memeterai perjanjian usaha sama dengan TY Net Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Ta Yoong Sdn Bhd, bagi kerjasama perniagaan yang ditempatkan di bawah JP United Sdn Bhd (JPU).

 

JPU mempunyai 39 anak syarikat tidak aktif secara tidak langsung yang ditubuhkan untuk mengendalikan cawangan pajak gadai di lokasi yang dipersetujui.

 

Di bawah perjanjian itu, TY Net akan melanggan 12.195 juta saham baharu dalam JPU dengan bayaran tunai RM12.195 juta, manakala Tomei Services akan melanggan tambahan 54,998 saham pada harga RM54,998.

 

Selepas proses peruntukan saham itu selesai, TY Net akan memiliki 45% kepentingan dalam JPU, manakala Tomei akan memegang baki 55%.

 

Dari segi operasi, Tomei Services akan bertanggungjawab terhadap hala tuju strategik kewangan, perakaunan dan kelulusan lesen bagi usaha sama itu, manakala TY Net akan menyediakan strategi perniagaan, kepakaran teknikal serta membina hubungan dengan pelanggan.

 

39 anak syarikat bakal mulakan operasi

Kesemua 39 anak syarikat tidak aktif itu akan memeterai perjanjian berkaitan secara berasingan dengan entiti Ta Yoong Group sebelum memulakan operasi.

 

Ini termasuk melantik Mainsource Management Sdn Bhd bagi menguruskan operasi, mendapatkan lesen bukan eksklusif untuk menggunakan jenama ‘Pawnzon’, serta lesen bukan eksklusif bagi menggunakan perisian yang dibangunkan Ta Yoong Group untuk perniagaan pajak gadai.

 

Tomei berkata, usaha sama itu membolehkan kedua-dua pihak menggabungkan kepakaran operasi masing-masing dalam perniagaan pajak gadai, memanfaatkan rangkaian perniagaan dan pangkalan pelanggan antara satu sama lain serta menggunakan sumber kewangan yang tersedia untuk mengembangkan perniagaan berkenaan. - DagangNews.com