Di Putrajaya, defisit mengecil dan tepukan kedengaran. Dalam kumpulan WhatsApp keluarga, mesej masuk: siapa boleh pinjamkan RM100 sampai gaji masuk?
Kedua-duanya membincangkan ekonomi Malaysia. Satu mengukur KDNK; satu lagi mengira baki bank.
Pra-Belanjawan 2027 mahu merancakkan pertumbuhan, memperbaiki taraf hidup dan memperkukuh tadbir urus. Saya tidak menolak disiplin fiskal. Kerajaan tidak boleh terus berhutang, tetapi keluarga juga tidak mampu menyerap kenaikan kos tanpa penghujung.
Apabila subsidi dikurangkan, cukai diperluas atau caj disemak ketika gaji masih meningkat perlahan, risiko tidak lenyap; ia cuma bertukar alamat daripada Perbendaharaan kepada rumah rakyat.
Angka besar, slip gaji kecil
Ekonomi berkembang 6.0% pada suku kedua 2026. Pelaburan diluluskan meningkat daripada RM267.8 bilion pada 2022 kepada RM431.1 bilion pada 2025, manakala defisit fiskal turun kepada 3.7% daripada KDNK.
Angka itu baik dan kerajaan berhak mengambil kredit. Cuma RM431.1 bilion tidak boleh ditunjukkan kepada juruwang pasar raya ketika dia bertanya: QR, kad atau tunai?
Pelaburan diluluskan masih berupa niat. Rakyat menunggu kilang dibuka, vendor tempatan menerima pesanan dan pekerjaan membayar gaji lebih baik. Jika kilang baharu menawarkan RM1,700, pekerja hanya bertukar majikan. Yang berubah cuma logo pada slip gaji.
Median gaji formal negara pada Mac 2026 ialah RM3,027, manakala 10% pekerja terbawah menerima RM1,700 atau kurang. Di Kuala Lumpur, mediannya RM4,527 berbanding RM1,827 di Kelantan.
Jurang RM2,700 cukup besar untuk menarik anak muda Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Selepas tiba, sebahagiannya diserahkan kepada tuan rumah, tol dan pengasuh. Kita memusatkan pekerjaan bergaji baik di ibu kota, kemudian mengadakan seminar untuk memahami mengapa anak muda meninggalkan negeri asal.
Inilah cukai geografi yang tidak disebut dalam ucapan Belanjawan. Ia tidak dipungut kerajaan, tetapi tetap dibayar kerana peluang masih terlalu bergantung pada poskod.
Sebab itu, setiap projek yang menerima insentif awam mesti menunjukkan pulangan kepada rakyat. Berapa gaji dibayar? Berapa pekerjaan kekal selepas tiga tahun? Berapa banyak kontrak diberikan kepada perusahaan Malaysia? Untung syarikat ialah kejayaan perniagaan; ia menjadi kejayaan negara hanya apabila pekerja turut merasainya.
Gaji naik RM1, bantuan susut RM1,250
STR dan SARA menerima peruntukan RM15 bilion pada 2026. Bagi keluarga yang mempunyai anak kecil, bantuan itu bukan bahan ucapan atau angka dalam infografik. Ia menjadi susu, tambang van sekolah dan wang yang memastikan akaun tidak kosong tiga hari sebelum gaji.
Tetapi kita perlu bertanya mengapa bantuan sebesar itu masih diperlukan saban tahun. Apabila wang awam menampung pekerja yang dibayar terlalu rendah, pembayar cukai secara tidak langsung membantu majikan membayar gaji yang tidak mencukupi untuk menampung kehidupan.
Masalah berikutnya terletak pada reka bentuk. Berdasarkan jadual asas penerima bukan eKasih, isi rumah berpendapatan RM2,500 ke bawah dengan sekurang-kurangnya lima anak boleh menerima RM3,400 setahun. Jika pendapatan meningkat kepada RM2,501, bantuan turun kepada RM2,150.
Tambahan gaji RM1 sebulan memberikan RM12 setahun tetapi boleh mengurangkan bantuan sebanyak RM1,250. Ertinya, keluarga itu secara teori kehilangan RM1,238 kerana berjaya menambah pendapatan sebanyak RM1.
Barangkali inilah satu-satunya kenaikan gaji yang menyebabkan penerimanya lebih miskin. Sistem mengucapkan tahniah atas kenaikan gaji RM1, kemudian menarik balik RM1,250; begitulah rupa kemajuan apabila formula lebih berkuasa daripada akal.
Bantuan mesti dikurangkan secara berperingkat. Jika tidak, kerajaan menyuruh rakyat maju sambil sistemnya menarik mereka ke belakang.
Sijil makin banyak, kerja macam itu juga!
Pada suku kedua 2026, 35.2% pekerja berpendidikan tinggi berada dalam pekerjaan yang tidak menggunakan sepenuhnya kemahiran mereka.
Seperti biasa, graduan dinasihatkan supaya mengambil sijil tambahan, menguasai kecerdasan buatan dan tidak terlalu memilih.
Nasihat itu ada benarnya. Akan tetapi, apabila sijil sudah lebih banyak daripada cuti tahunan sedangkan gaji masih sama, kita perlu berhenti menyalahkan resume.
Latihan boleh meningkatkan peluang seseorang; ia tidak boleh mencipta pekerjaan mahir yang belum disediakan oleh ekonomi.
Kita tidak kekurangan graduan yang mahu maju. Kita kekurangan firma yang sanggup membayar nilai kemahiran mereka.
Program selesai, masalah belum
Tidak semua pembaziran melibatkan wang yang dicuri. Ada program yang mematuhi prosedur, memenuhi sasaran peserta dan menghabiskan peruntukan tepat pada waktunya, tetapi pendapatan peserta tidak berubah.
Failnya lengkap, gambar sudah dimuat naik ke media sosial dan tanda pagar mungkin sempat dicipta. Gaji peserta sahaja yang belum dikemas kini.
Program seperti itu mungkin lulus audit pematuhan, tetapi belum tentu lulus audit prestasi. Belanjawan 2027 perlu melaporkan berapa banyak pelaburan diluluskan yang benar-benar beroperasi, gaji bagi pekerjaan yang diwujudkan, peserta latihan yang berjaya meningkatkan pendapatan serta keluarga yang tidak lagi memerlukan bantuan.
Ukuran sebenar bukan berapa banyak wang dibelanjakan, tetapi apa yang berubah selepas wang itu dibelanjakan.
Jika akaun kerajaan semakin sihat sedangkan keluarga yang sama terus memerlukan bantuan, pekerja kekal pada gaji lama dan graduan masih melakukan kerja yang tidak memerlukan ijazah, rakyat bukan gagal menghargai kemajuan. Kerajaan mungkin sekadar mengukur perkara yang salah dan meraikannya terlalu awal.
Belanjawan 2027 boleh membina penthouse yang dikagumi pasaran. Cabarannya ialah memastikan rakyat tidak terus melihatnya dari bawah. - DagangNews.com








