KUALA LUMPUR 17 Okt – Malaysia dan Singapura mengukuhkan kerjasama tenaga serantau menerusi kajian kebolehlaksanaan penuh bagi pembangunan sambungan elektrik kedua antara kedua-dua negara.
Usaha terbaharu berkenaan bakal menilai pelbagai aspek dari sudut teknikal dan komersial projek penyambungan bekalan elektrik tersebut dengan kapasiti tambahan sehingga 2,000 megawatt (MW).
Menurut kenyataan bersama, operasi dijangka bermula seawal 2030 dan dibina berasaskan hasil kajian sebelum itu yang siap pada Mei 2025, mengesahkan tiada halangan teknikal terhadap pelaksanaannya.
Ia dimeterai menerusi Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB), SP Group, dan Singapore Energy Interconnections (SGEI) sempena Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-43.
“Langkah ini penting bagi menyokong Grid Tenaga ASEAN (APG) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Majlis pemeteraian JDA itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Fadillah Yusof, serta Menteri Tenaga Singapura, Dr Tan See Leng.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SP Group, Stanley Huang berkata, inisiatif ini sejajar komitmen Singapura memperkukuh infrastruktur tenaga serantau melalui sumber tenaga rendah karbon.
Sementara Ketua Pegawai Eksekutif SGEI, Ong Teng Koon, menyatakan kerjasama ini meningkatkan daya tahan sistem grid dan perdagangan elektrik dua negara, sejajar keselamatan tenaga rantau ASEAN.
Sambungan elektrik pertama Malaysia-Singapura dibangunkan pada 1983, dengan naik taraf terkini kemudian dilaksanakan pada 2022 yang membolehkan aliran dua hala elektrik sehingga 1,000 MW.
Kenyataan itu menambah, dua negara berkenaan turut menyokong projek perdagangan tenaga rentas sempadan Laos-Thailand-Malaysia-Singapura dan projek perintis Energy Exchange Malaysia (ENEGEM).
Sambungan kedua pula dijangka menambah kapasiti keupayaan perdagangan elektrik rentas negara, sekali gus merealisasikan wawasan APG untuk integrasi grid elektrik serantau yang mampan. - DagangNews.com








