TNB, Solarvest dan ES Sunlogy siapkan dua projek solar Program Tenaga Hijau Korporat 60MW di Kulim | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB, Solarvest dan ES Sunlogy siapkan dua projek solar Program Tenaga Hijau Korporat 60MW di Kulim

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 April – Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama Solarvest Holdings Berhad dan ES Sunlogy Berhad mengumumkan kejayaan menyiapkan dua loji solar dengan kapasiti gabungan 60MWac.


Projek bersama tersebut dilaksanakan di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dalam usaha ketiga-tiga syarikat berkenaan mempercepat peralihan tenaga Malaysia agar terus diperkukuh.


Ia dibangunkan melalui Setia Kawan Energy Sdn Bhd (SKE) di Manjung, Perak dan Selarong Pertama Energy Sdn Bhd (SPE) di Kulim, Kedah, yang membolehkan proses pembekalan dibuat secara maya.


"Tenaga boleh diperbaharui (RE) tersebut akan disalurkan terus kepada pengguna korporat melalui perjanjian jangka panjang," menurut kenyataan bersama daripada tiga kumpulan berkenaan hari ini.


Beberapa syarikat utama akan menerimanya termasuk Micron Semiconductor Malaysia Sdn Bhd, Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd, Bursa Malaysia Berhad serta NTT Global Data Centers CBJ1 Sdn Bhd.


Ia dilaksanakan di bawah rangka kerja New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) dengan bekalan tenaga hijau menerusi Perjanjian Tenaga Hijau Korporat (CGPA) bersama sijil RE selama 21 tahun.

 

tenaga_DagangNews


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, kejayaan projek ini membuktikan kesiapsiagaan Malaysia dalam mempercepatkan agenda peralihan tenaga dengan bersepadu.


“CGPP merupakan perubahan struktur dalam cara RE dapat dibekalkan, membolehkan pengguna korporat terlibat secara langsung dalam usaha penyahkarbonan,” kata beliau menerusi kenyataan tersebut.


Majlis perasmian projek turut disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh mekanisme tenaga hijau berasaskan pasaran.


Selain meningkatkan kapasiti RE, projek ini juga menurut kenyataan berkenaan, dapat menyokong keperluan tenaga sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, pembuatan maju dan pusat data (DC).


Sebagai syarikat utiliti nasional, TNB jelasnya, terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh infrastruktur grid, menyokong integrasi RE serta memperluaskan inisiatif seperti CGPP sendiri.


Secara keseluruhan, kerjasama strategik ini dilihat memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang mampan, selari dengan aspirasi ekonomi rendah karbon negara. - DagangNews.com