KUALA LUMPUR 15 Okt – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam peringkat akhir memuktamadkan rakan konsortium pembangunan projek mega sambungan tenaga antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Ketua Pegawai Grid TNB, Hasmarizal Hassan berkata, langkah secara strategik itu adalah selaras dengan misi ASEAN dan menyokong inisiatif bekalan elektrik serantau menerusi Grid Tenaga ASEAN.
Projek ini bakal melibatan pemasangan kabel dasar laut sejauh 700 kilometer dari Sampadi, Kuching ke Sedili, Johor dengan kapasiti 2,000 megawatt (MW), yang majoritinya tenaga hidro dari Sarawak.
“Kami menyasarkan pegangan ekuiti 51% oleh TNB, manakala 49% lagi oleh pemain global. Kami kini dalam proses pemeteraian perjanjian sulit (NDA) dengan syarikat yang disenarai pendek,” katanya.
Hasmarizal ketika menjadi panel dalam Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 hari ini menambah, 70% daripada tenaga dijana akan dieksport ke Singapura, dan baki disalurkan ke grid nasional Malaysia.
Situasi ini menjadikan projek itu bukan sahaja kritikal kepada keselamatan tenaga negara, tetapi mendorong peralihan TNB ke arah penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang berasaskan eksport.
Usaha itu dijangka memulakan kajian kebolehlaksanaan penuh pada suku pertama 2026, selepas kajian awal disiapkan awal tahun ini dengan konsortium tersebut bakal dimuktamadkan sebelum hujung tahun.
"Kami turut memeterai perjanjian pembangunan bersama (JDA) dengan SP Group dan Sembcorp Power Asset pada 16 Oktober 2025 bagi projek sambungan tenaga kedua ke Singapura," jelas Hasmarizal.
Projek terbaharu berkenaan kata beliau, membabitkan laluan Pasir Gudang di Johor ke Pasir Ris di negara jiran berkenaan melalui kabel dasar laut yang dijangka sepanjang dua kilometer sahaja.
Fasa ini dijangka siap antara 2029 hingga 2030, dengan membabitkan pembinaan pencawang 500kV baharu di Johor bagi meningkatkan kapasiti eksport melepasi tahap semasa sebanyak 1,100MW.
Sementara itu, projek sambungan Vietnam–Malaysia–Singapura (VMSI) pula melibatkan pelaburan sekitar RM21 bilion, dengan 2,000MW tenaga angin dari selatan Vietnam akan disalurkan ke Kelantan.
"Rangkaian baharu ini kemudian terus ke Johor melalui jaringan ‘supergrid’ sepanjang 782 kilometer yang akan merentasi Terengganu dan Pahang sebelum sampai ke Singapura," tambah Hasmarizal.
Fasa kajian kebolehlaksanaan VMSI dijangka siap pada 2027 dan operasi komersial dijadualkan pada 2034 dengan JDA itu dimeterai pada Mei 2025 antara konsortium Malaysia, Vietnam dan Singapura.
Selain itu, TNB sedang menaik taraf sambungan sedia ada Malaysia–Thailand daripada kapasiti 300MW kepada sekurang-kurangnya 1GW, dalam usaha memperkukuhkan dagangan tenaga rentas sempadan.
TNB juga dalam peringkat prakajian bagi sambungan tenaga Sumatera–Melaka, dengan langkah itu akan membuka laluan kepada perdagangan RE antara Malaysia dan Indonesia. - DagangNews.com








