KUALA LUMPUR 13 Jun — Tenaga Nasional Berhad perlu mempercepatkan pelaburan grid untuk meningkatkan kestabilan rangkaian bekalannya sejajar dengan perkembangan pesat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), kata CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan tersebut berkata, syarikat gergasi utiliti berkenaan wajar segera melaksanakan perbelanjaan modal kontinjen (capex) yang berjumlah RM16.3 bilion di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) untuk merealisasikan pelaburan projek terbabit dengan lebih lancar.
Langkah itu juga katanya, berikutan perjanjian pembekalan tenaga dua hala terkini antara TNB dengan DayOne yang berpangkalan di Singapura, bagi membekalkan sehingga 500MW tenaga hijau selama 21 tahun kepada pusat-pusat data berskala besar di Johor.
"Perjanjian di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) itu menjadikan jumlah kapasiti jualan elektrik hijau antara perniagaan-ke-perniagaan (B2B) kepada anggaran kira-kira 1.3GW sejak dilancarkan tahun lalu," kata CGSI dalam nota kajiannya.
CRESS merupakan inisiatif B2B bagi membolehkan pihak korporat membeli elektrik hijau terus daripada pemaju RE melalui grid nasional dan skim itu turut menawarkan alternatif kepada perjanjian pembelian tenaga jangka panjang secara tradisional.
Ia bertujuan meningkatkan bahagian RE dalam campuran elektrik Malaysia manakala di luar CRESS pula, kerajaan telah mengapungkan kira-kira 4GW kapasiti solar berskala besar baharu sejak 18 bulan lalu, lebih tinggi berbanding antara 2016 sehingga 2021.
“Perkembangan RE yang pesat ini, pada pandangan kami, mengukuhkan kes bagi TNB mempercepatkan pelaburan berkaitan grid, menyokong keperluan capex dalam belanjawan luar jangka yang dianggarkan di bawah RP4 untuk meningkatkan kestabilan grid, kata CGSI.
Selain itu, firma penyelidikan tersebut berpendapat, Caj Akses Sistem (SAC) yang turut dikutip di bawah CRESS boleh juga berfungsi sebagai sumber pembiayaan berpotensi untuk mekanisme imbuhan yang belum ditentukan terhadap apa-apa belanjawan luar jangka.
Secara am katanya, SAC merujuk kepada kaedah pembayaran yang dikenakan ke atas peserta CRESS di atas harga elektrik yang dipersetujui antara penjual dan pembeli RE.
Berdasarkan potensi positif tersebut, ia mengekalkan pendirian ‘overweight’ terhadap sektor utiliti, dengan merujuk prospek pertumbuhan yang lebih kukuh didorong oleh usaha peralihan tenaga Malaysia di samping secara tradisinya dilihat sebagai berdaya tahan.
"Pelaksanaan kerajaan yang konsisten dan tepat pada masanya merentasi inisiatif utama di bawah Pelan Peralihan Tenaga Negara harus terus membina keyakinan pelabur terhadap cita-cita transisi tenaga dan memacu pendapatan sektor," tambahnya. - DagangNews.com








