KUALA LUMPUR 21 Mei – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menegaskan komitmennya untuk memacu peralihan tenaga yang adil serta bertanggungjawab yang terus memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham, negara dan rakyat.
Ketika Malaysia mempercepatkan usaha di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), TNB terus memainkan peranan utama dalam menyokong aspirasi negara ke arah masa depan tenaga yang mampan, inklusif dan rendah karbon.
Mempercepatkan Peralihan Tenaga Malaysia
Sepanjang 2025, kumpulan itu mempergiat usaha dalam integrasi tenaga boleh baharu, pendigitalan grid dan pengurusan karbon bagi memperkukuh keselamatan tenaga negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi.
Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, sebagai pembekal utiliti utama negara, TNB memainkan peranan penting dalam menyokong perjalanan peralihan tenaga Malaysia yang seimbang, bertanggungjawab dan inklusif.
“Fokus kami kekal pada memastikan keselamatan tenaga, mempercepat usaha peralihan tenaga serta memperkukuh daya tahan grid, di samping terus mencipta nilai mampan untuk pemegang saham dan rakyat,” katanya berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-36.
Sepanjang tahun, TNB melaksanakan beberapa inisiatif selari NETR termasuk pembangunan solar berskala utiliti, penyelesaian hibrid tenaga boleh baharu serta teknologi rendah karbon.

Antara pencapaian utama ialah pemeteraian perjanjian 785 megawatt puncak (MWp) di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bagi menyokong operasi pusat data dengan bekalan tenaga hijau.
Kumpulan itu turut memajukan projek solar hibrid terapung di Kenyir, Terengganu serta inisiatif hidrogen hijau di Loji Jimah East Power, Negeri Sembilan yang mengukuhkan lagi kedudukan TNB dalam rantaian nilai tenaga rendah karbon.
Pelaburan Untuk Grid Masa Depan
Sebagai komitmen meningkatkan kebolehpercayaan bekalan, TNB melabur RM15.7 bilion perbelanjaan modal pada 2025, meningkat daripada RM11.2 bilion pada 2024.
Daripada jumlah itu, RM12 bilion diperuntukkan untuk pemodenan grid bagi memastikan kestabilan bekalan, menyokong integrasi tenaga boleh baharu serta memenuhi peningkatan permintaan elektrik.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad pula berkata pelaburan grid menjadi semakin penting ketika Malaysia mengalami peningkatan permintaan elektrik dipacu elektrifikasi industri, pendigitalan, mobiliti elektrik dan pertumbuhan pusat data.
Pelaburan ini turut meningkatkan pengalaman pelanggan, dengan ‘System Minutes’ mencatat 0.15 minit, jauh lebih baik daripada penanda aras global (<1.5 minit), manakala ‘System Average Interruption Duration Index’ (SAIDI) bertambah baik kepada 46.93 minit berbanding 47.88 minit pada 2024.
Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) pula mencatat rekod tertinggi 90% pada 2025.

Nilai Kepada Pemegang Saham
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, TNB mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM4.8 bilion.
Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan permintaan elektrik, kecekapan operasi serta rangka kerja kawal selia yang stabil.
TNB mengisytiharkan dividen keseluruhan 53 sen sesaham pada 2025, tertinggi dalam tempoh lima tahun, berjumlah RM3.1 bilion, meningkat 4.2% berbanding 2024.
Lebih 60% pegangan saham TNB dimiliki oleh GLIC utama seperti KWSP, Khazanah Nasional, PNB, KWAP dan Tabung Haji, sekali gus memastikan manfaat keuntungan kembali kepada rakyat.
Keuntungan Kembali Kepada Rakyat
Selain pulangan kewangan, TNB terus melaksanakan program pembangunan komuniti termasuk pendidikan, sukan, kesejahteraan dan alam sekitar.
Sepanjang 2025, TNB menyumbang lebih RM232.3 juta dalam pelbagai inisiatif komuniti.
Selain itu, sebanyak RM11.9 juta zakat wakalah diagihkan kepada lebih 36,000 penerima asnaf.
Hala Tuju Masa Depan
Bagi tempoh akan datang, TNB akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan ketahanan grid, peluasan kapasiti tenaga boleh baharu, pembangunan sambungan tenaga serantau serta sokongan kepada industri baharu seperti ekonomi digital dan AI.
Sebagai utiliti utama negara, TNB kekal komited menyediakan bekalan tenaga yang stabil, memacu pembangunan mampan dan menyokong aspirasi Malaysia ke arah masa depan yang lebih cerah. - DagangNews.com








