BESS Santong jadikan TNB muncul sebagai peneraju sistem penyimpanan tenaga negara - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BESS Santong jadikan TNB muncul sebagai peneraju sistem penyimpanan tenaga negara - CGSI

Foto BERNAMA
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 25 JunTenaga Nasional Berhad (TNB) mengukuhkan kedudukan apabila memajukan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) bersambung grid pertama Malaysia di Santong, Terengganu.

 

Menurut CGS International (CGSI), usaha itu menjadikan kumpulan tersebut peneraju peralihan tenaga negara, sekali gus membuka potensi pertumbuhan baharu dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Firma penyelidikan itu berkata, kemudahan berkapasiti 100MW/400MWh yang beroperasi pada April 2026 itu berpotensi menjadi pemangkin penting pembangunan infrastruktur tenaga masa hadapan negara.

 

"Projek bernilai RM380 juta di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) itu ialah aset penghantaran dan pembahagian (T&D) milik penuh TNB dengan jangka hayat operasi selama 21 tahun," jelas CGSI.

 

Berbeza dengan sistem biasa, BESS Santong dekat Dungun itu menggunakan teknologi baharu yang menyediakan rujukan voltan, kawal selia frekuensi dan inersia sintetik bagi meningkatkan kestabilan grid.

 

Langkah berkenaan ujar firma itu yang berpeluang melakukan lawatan tapak ke fasiliti tersebut, dapat mempercepatkan pemulihan sistem ketika gangguan bekalan elektrik berlaku secara tiba-tiba.

 

BESS Santong_DagangNews2026

 

Artikel berkaitan: TNB lancar BESS Santong 100MW/400MWH di Terengganu, sistem penyimpanan tenaga pertama disambung ke grid Malaysia

 

CGSI berkata, keupayaan itu dijangka semakin penting memandangkan campuran penjanaan tenaga negara ketika ini bergantung kepada sumber RE yang bersifat tidak konsisten seperti solar dan angin.

 

"Selain menyokong operasi grid, fasiliti ini berfungsi sebagai platform pembelajaran strategik TNB membina kepakaran teknikal, operasi dan komersial dalam pembangunan berskala utiliti," jelasnya.

 

Kumpulan itu juga memeterai perjanjian selama 10 tahun dengan pengeluar peralatan asal (OEM) dari China, Sungrow, bagi pemindahan teknologi dan kepakaran operasi serta penyelenggaraan bateri.

 

Justeru, CGSI memuji keupayaan pelaksanaan projek TNB apabila BESS Santong berjaya disiapkan dalam tempoh hanya 309 hari, dan jauh lebih pantas berbanding tempoh lazim antara 18 hingga 24 bulan.

 

Tambah firma itu, kajian menunjukkan grid elektrik Semenanjung Malaysia mampu menampung 6GW kapasiti RE berbanding had semasa 4.5GW, namun simpanan tambahan perlu apabila melepasi paras.

 

"Setiap tambahan 1,000MW kapasiti RE berpotensi memerlukan 500MW kapasiti storan bateri bagi memastikan kestabilan rangkaian, dan menyerlahkan potensi jangka panjang segmen BESS," katanya.

 

Sehubungan itu, CGSI mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham TNB dan harga sasaran RM16.60 sesaham kerana dilihat sebagai antara terbaik kepada peralihan tenaga negara. - DagangNews.com