Pemegang saham lulus usul khas tukar nama AirAsia X kembali asal kepada AirAsia Group Berhad | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham lulus usul khas tukar nama AirAsia X kembali asal kepada AirAsia Group Berhad

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 25 Jun — Pemegang saham AirAsia X Berhad meluluskan usul khas untuk menukar nama syarikat kepada AirAsia Group Berhad, pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-19 kumpulan itu.

 

Langkah berkenaan sekali gus menandakan fasa baharu dalam usaha kumpulan bagi memperkukuh identiti korporat serta menyelaraskan imej penjenamaan perniagaan penerbangan syarikat pada masa hadapan.

 

Kelulusan tersebut jelasnya, diperoleh selepas pembentangan resolusi khas berhubung pertukaran nama rasmi yang menerima sokongan hampir sebulat suara daripada sejumlah 613 orang pemegang sahamnya.

 

"Berdasarkan keputusan pengundian, 1.377 bilion saham atau 99.9959% menyokong cadangan berkenaan, manakala hanya 16 orang mewakili 56,744 saham atau 0.0041% menentang," maklumnya kepada bursa.

 

Nama AirAsia X mula digunakan apabila syarikat penerbangan jarak jauh itu dilancarkan secara rasmi pada 2007 dengan memulakan operasi komersial pertama dari Kuala Lumpur ke Gold Coast, Australia.

 

Penggunaan nama AirAsia X adalah untuk membezakan operasi jarak jauhnya daripada AirAsia yang ketika itu hanya mengendalikan penerbangan jarak dekat menggunakan model pesawat keluarga Airbus A320.

 

Ia digabungkan dengan AirAsia Aviation Group Limited yang mengendalikan destinasi jarak dekat pada 18 Januari 2026 apabila mengambil alih keseluruhan perniagaan penerbangan diurus Capital A Berhad.

 

AirAsia_DagangNews2026

 

Langkah itu turut dilihat mengembalikan semula nama asal kumpulan tersebut apabila ditubuhkan pada 2001 lalu sebagai AirAsia Group Berhad sebelum ditukar pula kepada Capital A sekitar Januari 2022.

 

Selain usul perubahan nama, semua usul biasa lain dibentangkan pada AGM turut diluluskan pemegang saham menerusi pengundian selaras dengan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Antara resolusi yang berjaya diluluskan majoriti pemegang saham termasuk pembayaran fi, elaun dan manfaat kepada pengarah bukan eksekutif bagi tempoh sehingga AGM akan datang pada tahun depan.

 

Pemegang saham turut meluluskan pemilihan semula Datuk Sri Mohammed Shazalli Ramly, Datuk Abdul Mutalib Alias dan Tan Sri (Dr) Jamaludin Ibrahim sebagai anggota lembaga pengarah syarikat.

 

Dalam pada itu kumpulan berkenaan menyatakan firma Messrs BDO PLT dilantik semula sebagai juruaudit syarikat, selain lembaga pengarah diberikan kuasa untuk menentukan imbuhan mereka.

 

Pemegang saham juga meluluskan kuasa kepada syarikat memperuntukkan dan menerbitkan saham baharu di bawah Seksyen 75 dan 76 Akta Syarikat 2016 serta pengecualian hak keutamaan pemegang saham.

 

AirAsia X dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, keputusan pengundian itu disahkan Boardroom Corporate Services Sdn Bhd yang bertindak sebagai pemeriksa bebas bagi AGM berkenaan. - DagangNews.com