KUALA LUMPUR 25 Jun - Peranan yang semakin berkembang Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) di Turkmenistan kini muncul sebagai pemangkin utama kepada momentum baharu hubungan dua hala Malaysia–Turkmenistan, diperkukuh oleh lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara Asia Tengah itu baru-baru ini.
Dengan kehadiran berterusan selama tiga dekad, syarikat minyak dan gas nasional itu bukan sahaja membuka lembaran baharu kerjasama tenaga, malah memperluas potensi pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh perkongsian strategik merentasi pelbagai sektor antara kedua-dua negara.
Malaysia dan Turkmenistan menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1992 dan sejak itu secara konsisten memperkukuh kerjasama melalui penglibatan berterusan antara kerajaan, institusi dan industri, mencerminkan komitmen bersama untuk membina perkongsian yang tersusun, berdaya tahan dan berpandangan jauh.
Lawatan rasmi dua hari Anwar ke ibu negara Turkmenistan, Ashgabat yang dikenali sebagai “Bandar Marmar Putih” minggu lalu menyaksikan beberapa pertemuan peringkat tinggi dengan Presiden Turkmenistan, Serdar Berdimuhamedov.
Kerjasama Pembangunan Sumber Hidrokarbon
Antara pencapaian utama lawatan itu ialah pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Kerjasama Jangka Panjang bagi Pembangunan Sumber Hidrokarbon Turkmenistan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Turkmenistan.
Perjanjian berkenaan menyediakan platform berstruktur untuk memperluas kerjasama dua hala, termasuk potensi pembangunan medan gas Galkynysh, selain peluang dalam sektor hiliran dan sektor berkaitan seperti penapisan minyak, pemprosesan gas serta bahan kimia gas.
Seiring kerjasama kerajaan ke kerajaan, PETRONAS melalui anak syarikat milik penuhnya, PETRONAS Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd, terus memperkukuh kehadirannya di Laut Kaspia menerusi perjanjian perkongsian pengeluaran baharu bagi Blok-19 dan Blok-20 luar pesisir, serta perjanjian kerjasama kajian seismik dua dimensi bagi Blok Luar Pesisir Utara.
Syarikat itu turut memperoleh lanjutan kontrak Blok-I selama 25 tahun pada 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan jangka panjang Petronas di negara berkenaan.
Perkembangan ini berlaku ketika PETRONAS menyambut 30 tahun operasinya di Turkmenistan — satu pencapaian yang menjadi antara asas paling kukuh dalam hubungan dua hala Malaysia–Turkmenistan dan bukti keupayaan Malaysia membina perkongsian strategik jangka panjang melalui syarikat tenaga nasionalnya.
Sepanjang tempoh itu, kehadiran PETRONAS telah menyokong evolusi sektor tenaga Turkmenistan daripada peringkat penerokaan awal kepada sistem pengeluaran luar pesisir dan daratan yang lebih bersepadu, di samping menyumbang kepada pembangunan modal insan serta amalan operasi mampan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Malaysia berpotensi meraih manfaat besar daripada pengembangan ini, khususnya dalam memperkukuh keselamatan tenaga serantau dan membuka peluang lebih luas kepada syarikat tempatan merentasi rantaian nilai minyak dan gas.
“Dari sudut keselamatan tenaga, usaha terbaharu ini menyokong perdagangan, pelaburan dan aktiviti perniagaan, terutamanya ketika dunia berdepan peningkatan penelitian terhadap dasar perdagangan global serta risiko keselamatan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pengembangan terkini Petronas di Turkmenistan adalah tepat pada masanya, memandangkan keperluan global untuk menjamin sumber tenaga yang stabil semakin mendesak dalam persekitaran operasi antarabangsa yang kian kompleks.
Sementara itu, rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes, berkata rizab gas Turkmenistan yang besar mampu menyokong kepentingan tenaga dan ekonomi jangka panjang Malaysia, dengan Petronas berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan kepakaran serta kehadiran globalnya.
“Manfaat terbesar bukan sekadar keselamatan tenaga, tetapi nilai komersial. Malaysia mempunyai bekalan domestik dan kapasiti eksport, namun gas dari Turkmenistan berfungsi sebagai penampan risiko tenaga dalam senario ekstrem seperti sekatan Selat Hormuz.
Bagi Petronas, ia menambah rizab jangka panjang, fleksibiliti eksport serta memperkukuh portfolio gas luar negara,” katanya.
Kerjasama Dalam Teknologi Baharu
Selain sektor tenaga, kedua-dua negara turut mengiktiraf kepentingan memperluas kerjasama ke bidang lain termasuk pelancongan, pertanian, pendidikan, kebudayaan dan teknologi, sebagai sebahagian usaha membina hubungan dua hala yang lebih pelbagai dan berdaya tahan.
Semasa lawatan rasmi itu, Malaysia dan Turkmenistan bersetuju meneroka kerjasama dalam teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor, di samping memperkukuh hubungan akademik melalui kerjasama universiti dan akademi sains serta program latihan untuk diplomat dan profesional muda.
Peluang dalam pembangunan industri halal, penerbangan dan pertanian turut dibincangkan sebagai sebahagian usaha memperluas penglibatan ekonomi dua hala melangkaui sektor minyak dan gas.
Menurut Innes, peluasan kerjasama ini penting bagi menyediakan asas ekonomi yang lebih mampan kepada hubungan Malaysia–Turkmenistan.
“Minyak dan gas kekal sebagai tonggak utama, khususnya dengan kehadiran lama Petronas, namun sektor seperti penerbangan, AI, pendidikan tinggi, halal dan pertanian membuka ruang kepada perdagangan, pelaburan dan perkhidmatan yang lebih pelbagai,” katanya.
Beliau menambah kekuatan Malaysia dalam standard halal, pemprosesan makanan, agroteknologi dan perkhidmatan digital berpotensi menjadi semakin relevan ketika Turkmenistan berusaha memoden dan mempelbagaikan ekonominya.
Membina Keupayaan Global
Pemerhati industri turut melihat pengembangan antarabangsa PETRONAS sebagai alat strategik nasional yang membolehkan syarikat itu mempelbagaikan asas sumber, membina keupayaan global dan menjana pulangan mampan yang akhirnya menyumbang kepada kekuatan ekonomi Malaysia.
Selain nilai pelaburan langsung, pengembangan berterusan Petronas di Turkmenistan dijangka mewujudkan kesan limpahan kepada syarikat Malaysia, khususnya dalam ekosistem perkhidmatan minyak dan gas.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata peluang yang terhasil daripada perjanjian itu tidak terhad kepada aktiviti huluan semata-mata.
“Kita melihat peluang melangkaui sektor huluan. Dalam konteks ini, syarikat sokongan Malaysia juga berpotensi menjadi sebahagian daripada usaha sama ini," katanya.
Beliau berkata peluang boleh muncul bukan sahaja dalam penerokaan, malah dalam operasi, pemprosesan serta segmen lain dalam rantaian nilai gas.
Akmal Nasrullah turut menekankan kerjasama dalam bidang pendidikan, dengan institusi Malaysia seperti Universiti Teknologi PETRONAS berperanan menyokong pembangunan modal insan, termasuk melalui program biasiswa kepada pelajar Turkmenistan.
Ketika Malaysia terus memperkukuh kehadiran ekonominya di peringkat antarabangsa, kemajuan berterusan PETRONAS di Turkmenistan menyerlahkan nilai nasional yang lebih luas daripada usaha antarabangsa syarikat itu, menyokong daya tahan tenaga, membuka laluan kepada perniagaan Malaysia, membina hubungan strategik serta menjana manfaat mampan yang akhirnya mengalir kembali kepada negara. - BERNAMA








