KUALA LUMPUR 16 Jun — Jumlah komitmen jualan elektrik hijau Tenaga Nasional Berhad di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) kini diunjur mampu mencecah kapasiti 1.3GW, menurut CGS International (CGSI).
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif itu berikutan pemeteraian kontrak bekalan terbaharu antara syarikat utiliti berkenaan dengan firma pusat data, DayOne yang berpangkalan di Singapura pada 11 Jun 2025.
Ia menambah, pembangunan itu menggariskan momentum kukuh Malaysia dalam peralihan tenaga apabila komited untuk menyampaikan bekalan sehingga 500MW tenaga hijau dalam tempoh 21 tahun kepada pusat-pusat data berskala besar di Johor.
“Menerusi pemeteraian ini, kami menganggarkan sejumlah 1.3GW perjanjian bekalan elektrik hijau (ESA) telah berjaya ditandatangani TNB di bawah CRESS sejak pelancaran rasminya pada September 2024,” kata CGSI dalam satu nota kajiannya.
Dua lagi ESA terbesar ditandatangani sejak enam bulan lalu termasuk perjanjian 400MW dengan Bridge Data Center untuk fasiliti di Ulu Tiram, Johor, dan kontrak UEM Lestra Bhd dengan ESR Group Ltd untuk pusat data 360MW di Nusajaya, Johor.
CRESS memudahkan akses daripada pihak ketiga kepada rangkaian bekalan elektrik menerusi grid nasional, yang membolehkan pengambil alih korporat untuk berkontrak terus dengan pemaju tenaga boleh diperbaharui (RE).
CGSI berkata, model dipacu pasaran ini boleh meningkatkan pulangan untuk projek RE baharu dengan mengalihkan rundingan tarif kepada model 'pembeli dan penjual yang bersedia' menerusi pembidaan berasaskan kuota, dengan tarif rendah.
Program ini mempercepatkan kapasiti RE dengan tiada kesesakan peruntukan kuota manakala di luar CRESS, kerajaan mengapungkan 4GW kapasiti solar berskala besar baharu sejak 18 bulan lalu, dua kali ganda berbanding antara 2016 dan 2021.
“Peluasan RE, pada pandangan kami, mengukuhkan kes bagi TNB mempercepatkan pelaburan berkaitan grid, terutama RM16.3 bilion dalam perbelanjaan modal luar jangka (capex) di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) untuk kestabilan grid," katanya.
Caj akses sistem dikutip di bawah CRESS pula kata CGSI, boleh berfungsi sebagai sumber pembiayaan berpotensi untuk mekanisme imbuhan yang belum ditentukan untuk belanjawan luar jangka.
Ia menyatakan bahawa tender untuk pembangunan sistem storan tenaga bateri sedang berjalan baik, dengan tawaran akan ditutup pada Julai 2025 manakala penganugerahan dijangka pada suku keempat 2025.
Perkembangan ini katanya, boleh menjana RM15 bilion hingga RM18 bilion dalam peluang pembinaan untuk kejuruteraan solar, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan pemain serta syarikat pembinaan.
"Kami mengulangi 'overweight' pada utiliti Malaysia kerana Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) telah mewujudkan elemen pertumbuhan struktur kepada sektor yang secara tradisi dilihat sebagai sebahagian besar bertahan," kata CGSI.
Firma penyelidikan itu menyatakan bahawa pelaksanaan inisiatif utama NETR kerajaan yang konsisten dan tepat pada masanya harus terus membina keyakinan pelabur terhadap cita-cita peralihan tenaga negara dan memacu pendapatan sektor.
Ia memberikan saranan "tambah" kepada TNB dan Malakoff Corp Berhad, dengan harga sasaran sesaham masing-masing iaitu RM19.10 dan RM1.15.
CGSI berkata TNB adalah pemboleh kritikal NETR dan penerima utama kitaran pelaburan sektor tenaga yang sedang pesat membangun dan ia percaya pasaran memandang rendah pendapatan TNB meningkat daripada perbelanjaan modal yang jauh lebih tinggi di bawah RP4.
Bagi Malakoff, ia melihat syarikat itu sebagai penerima manfaat berpotensi untuk memastikan aset gas beroperasi menampung permintaan tenaga semakin meningkat berikutan pertumbuhan pesat pusat data.
Saham itu juga mempunyai potensi peningkatan daripada projek kuasa medan hijau baharu dalam perancangan. - DagangNews.com








