KUALA LUMPUR 15 Okt – TMK Chemical Berhad memeterai Perjanjian Pengedaran dengan Tata Chemicals Soda Ash Partners LLC dari Amerika Syarikat (AS) untuk pengedaran produk abu soda di Vietnam.
Kumpulan tersebut berkata, ia ditandatangani melalui anak syarikat milik penuhnya, Chlor-Al Chemical Pte Ltd (CAL) pada 15 Oktober 2025, dengan berkuat kuasa selama setahun mulai 1 Januari 2026.
Selain itu tambahnya, syarikat subsidiari kumpulan tersebut, TMK – Dai Hung Chemicals Co Ltd, turut dilantik sebagai pengedar tidak eksklusif bagi produk berkenaan secara pukal di pasaran Vietnam.
"Perjanjian ini diperbaharui automatik bagi tempoh setahun setiap kali, kecuali salah satu pihak memberi notis bertulis minimum enam bulan sebelum tamat tempoh," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Tata Chemicals yang ditubuhkan pada 23 Januari 1939, terlibat mengendalikan operasi perlombongan dan pemprosesan trona ore di Green River, Wyoming, AS, dengan produk akhirnya ialah abu soda.
Ia juga dikenali dengan nama natrium karbonat, dan berbentuk seperti serbuk berwarna putih, ialah bahan kimia yang penting dalam pelbagai industri termasuk kaca, pencuci, serta pemprosesan air.
Menurut TMK, perjanjian itu dijangka memberi kesan positif ke atas hasil dan aset bersih kumpulan bagi tahun-tahun akan datang, tanpa menjejaskan modal saham atau pegangan pemegang saham utama.
"Keperluan kepada modal kerja untuk pelaksanaan perjanjian ini akan dibiayai sepenuhnya melalui sumber dana dalaman kumpulan ini sendiri," tambah makluman syarikat teknologi kimia berkenaan.
Tiada sebarang liabiliti atau jaminan yang ditanggung TMK di bawah perjanjian ini, serta tiada keperluan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia bagi memuktamadkan perjanjian.
Lembaga Pengarah TMK juga menegaskan yang langkah ini selaras dengan aktiviti perniagaan teras syarikat dan merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan kedudukan di rantau Asia Tenggara.
Di samping itu, setelah meneliti semua aspek perjanjian berkenaan, lembaga tersebut berpendapat pelaksanaannya adalah demi kepentingan terbaik operasi TMK sendiri dalam tempoh jangka panjang.
"Kami mengesahkan yang tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu berkaitan yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam perjanjian ini," katanya. - DagangNews.com








