KUALA LUMPUR 27 Mac - Telekom Malaysia (TM) telah mencapai Pensijilan Sistem Pengurusan Kecerdasan Buatan (AIMS) ISO/IEC 42001:2023, menjadikannya syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang memenuhi piawaian global tersebut.
Pensijilan berkenaan dicapai melalui Artificial Intelligence Centre of Excellence (AI COE) TM dan disahkan oleh SIRIM QAS International.
Pengiktirafan ini sekali gus menegaskan sistem AI TM dibangunkan dan dilaksanakan dengan tadbir urus yang ketat, perlindungan etika yang kukuh serta pengurusan risiko yang mantap.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris, berkata pencapaian ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh kepercayaan pelanggan dan rakan perniagaan terhadap perjalanan AI syarikat.
“Pensijilan ini memberi jaminan bahawa pendekatan kami berteraskan tadbir urus yang bertanggungjawab dan prinsip yang telus, sekaligus memperkasa kami untuk memacu inovasi AI yang transformatif dengan keyakinan dan hala tuju yang jelas,” katanya.
Beliau menambah, sebagai syarikat telekomunikasi pertama yang disahkan dengan ISO/IEC 42001:2023, TM kini mempunyai kelebihan strategik untuk menerajui amalan AI yang berstruktur dan selamat, membolehkan syarikat membimbing organisasi lain dalam ekosistem digital yang lebih inovatif dan dipercayai.
Melalui pencapaian ini, TM memperkukuh peranannya sebagai rakan digital yang dipercayai, menyokong penggunaan AI yang lebih selamat, telus dan ditadbir urus dengan baik di Malaysia. Usaha ini selaras dengan aspirasi TM untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030. - DagangNews.com








