TM, Scicom jalin kerjasama strategik pacu pengalaman pelanggan diperkasakan AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM, Scicom jalin kerjasama strategik pacu pengalaman pelanggan diperkasakan AI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 SeptTelekom Malaysia Berhad (TM) dan Scicom (MSC) Berhad menjalin kerjasama strategik bagi mengukuh pengalaman pelanggan menerusi integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI).


Usaha tersebut sekali gus dijangka menetapkan satu tanda aras baharu dalam industri pengurusan hubungan pelanggan negara ini dengan menyatukan keupayaan operasi dan skala nasional TM sendiri.


Sementara kepakaran Scicom dalam penyumberluaran proses perniagaan (BPO) dan platform AI generasi baharu, yang melibatkan penggunaan teknologi dijangka membantu kerjasama dua pihak berkenaan.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, kerjasama ini merupakan satu langkah strategik mereka dalam menjayakan misi TM untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030.


"Dengan tumpuan utama terhadap peningkatan kepuasan pelanggan, gabungan kekuatan membolehkan kami memperkukuh keterlibatan pelanggan melalui ekosistem kolaboratif berasaskan AI," kata beliau.


Tambahnya, kerjasama itu menyokong pertumbuhan jangka panjang TM, manakala bagi segmen B2C, pelanggan Unifi akan mendapat manfaat daripada kadar rumusan lebih tinggi dan tindak balas pantas.


Bagi segmen B2B, kerjasama ini memanfaatkan keupayaan anak syarikat TM, VADS Business Process Sdn Bhd menawar rumusan pengalaman pelanggan AI kepada sektor perusahaan dan kerajaan di negara ini.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Scicom, Datuk Seri Leo Ariyanayakam menyifatkan kerjasama ini sebagai detik penting yang mampu mentransformasikan landskap perkhidmatan pelanggan.


“Dengan gabungan skala nasional TM dan platform AI Scicom yang dibangunkan secara dalaman, kami yakin mampu memberi automasi pintar, analitik lanjutan dan inovasi berskala mampan,” katanya.


Beliau menekankan bahawa kerjasama ini akan membolehkan pelanggan korporat dan kerajaan menikmati pengoptimuman kos, peningkatan tahap kepuasan pengguna serta potensi aliran pendapatan baharu.


Justeru tambahnya, kerjasama dua pihak berkenaan sekali gus memajukan kedudukan Malaysia dalam bidang inovasi AI untuk sektor perkhidmatan pelanggan digital dan menandakan permulaan era baharu.


Usaha itu juga seiring trend global yang menjadikan teknologi sebagai enjin utama transformasi perniagaan dan selari dengan agenda negara memperkasa inovasi dan ekonomi digital. - DagangNews.com