KUALA LUMPUR 13 Ogos — TM mempamerkan pelbagai infrastruktur pintar dan rumusan kecerdasan buatan (AI) dunia nyata yang dihasilkannya pada Sidang Kemuncak AI ASEAN 2025 di ibu negara.
Kumpulan telekomunikasi itu berkata, usaha ini mengukuhkan kepimpinannya memacu transformasi dan digital negara dengan berkongsi aplikasi AI berdaulat di bandar-bandar pintar dan ekonomi digital.
Sepanjang persidangan selama dua hari itu, TM mempamerkan rangka digital berdaulatnya, merangkumi rangkaian gentian optik seluruh negara, Cloud Alpha Edge (CAE) dan GPU-as-a-Service (GPUaaS).
"Dengan bertemakan TM AI Park, pameran ini turut membolehkan para pengunjung terutama generasi muda menikmati rumusan digital yang lebih selamat dan berprestasi tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Ia memberi contoh CAE menyediakan perkhidmatan awan berkependaman ultra rendah dihos sepenuhnya di Malaysia, dengan memastikan pengekalan data, pematuhan peraturan dan daya ketahanan operasi.
Sementara GPUaaS pula melengkap sistem itu dengan tenaga pengkomputeran AI yang boleh diskalakan, serta membolehkan organisasi membangunkan dan melaksanakan model AI tanpa pelaburan yang besar.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata, sebagai rakan digital dipercayai negara, TM sedang aktif membina infrastruktur digital yang inklusif dan selamat.

"Prasarana kami juga dapat dinikmati komuniti, organisasi dan sektor kerajaan, sekali gus memacu usaha transformasi digital Malaysia dan ASEAN secara bersama,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Tambahnya, selain rangkaian pintar, awan berdaulat dan rumusan AI, TM juga menggerakkan tenaga kerja yang mahir dalam AI serta membangunkan ekosistem kolaboratif, dan menjadi teras kepada aspirasi TM.
Ia selari matlamat kumpulan untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030 dan pelbagai usaha ini adalah kunci pemerkasaan semula ekosistem inovasi Malaysia sebagai hab digital terkemuka ASEAN.
"Selain teknologi, TM turut mempamerkan bagaimana ia menyepadukan pendigitalan inklusif dan AI dalam inisiatif komuniti, seperti transformasi Kampung Mukut di Pulau Tioman, Pahang," kata Amar.
Usaha itu tambahnya, meliputi penambahbaikan pendidikan, sumber pendapatan dan perkhidmatan asas. manakala Program TM’s Future Skills embekalkan pelajar di seluruh negara dengan kemahiran tertentu.
Ini kata beliau, seperti teknologi robotik, pengekodan, pencatatan data masa nyata dan peralatan termaju lain yang mempersiapkan mereka untuk masa depan digital. - DagangNews.com








