TM, Maxis terus kongsi rangkaian 2G dan 4G, perjanjian disambung hingga 2029 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM, Maxis terus kongsi rangkaian 2G dan 4G, perjanjian disambung hingga 2029

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Mei – Telekom Malaysia Bhd (TM) melanjutkan kerjasama dengan Maxis Broadband Sdn Bhd bagi penyediaan perkhidmatan perayauan domestik generasi ke-2 (2G) dan generasi ke-4 (4G) serta rangkaian teras pelbagai pengendali (MOCN) sehingga 30 September 2029.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TM berkata Maxis Broadband kekal sebagai penyedia sedia ada bagi perkhidmatan tersebut, menjadikan perjanjian terbaharu itu sebagai sambungan kepada kerjasama yang telah sedia wujud sebelum ini.

 

Perkhidmatan yang terlibat merangkumi kerja penyediaan, penyepaduan sistem, pengaktifan, ujian, pengoptimuman rangkaian serta pengebilan perkhidmatan.

 

Maxis Broadband adalah anak syarikat milik penuh Maxis Bhd yang telah menerima surat anugerah daripada TM Technology Services Sdn Bhd, iaitu unit TM yang menguruskan aspek teknikal dan operasi rangkaian.

 

Melalui kerjasama ini, TM dapat memperluaskan liputan rangkaian mudah alih di seluruh negara dengan memanfaatkan lebih banyak tapak rangkaian 2G dan 4G sedia ada milik Maxis di samping infrastruktur sendiri.

 

Sistem MOCN membolehkan TM dan Maxis berkongsi rangkaian 4G yang sama, namun kedua-dua syarikat masih menguruskan pelanggan dan operasi secara berasingan.

 

Model ini membantu meningkatkan kecekapan rangkaian tanpa perlu membina keseluruhan infrastruktur baharu secara berasingan oleh TM.

 

Sementara itu Maxis dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia menjelaskan kontrak itu adalah berasaskan penggunaan, iaitu nilai bayaran akan ditentukan mengikut kadar dan jumlah penggunaan sebenar perkhidmatan oleh TM berdasarkan parameter yang dipersetujui.

 

Kontrak tersebut akan terus berkuat kuasa sehingga 30 September 2029, melainkan dilanjutkan atau ditamatkan lebih awal di bawah syarat tertentu termasuk pelanggaran perjanjian, masalah kewangan atau pemberhentian operasi perniagaan.

 

Perjanjian ini tidak memerlukan kelulusan pihak berkuasa kawal selia, namun TM akan mendapatkan kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 yang dijadualkan pada 19 Mei 2026 bagi mandat berkaitan transaksi berulang pihak berkaitan.

 

Ini kerana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan pemegang saham utama yang sama dalam kedua-dua TM dan Maxis, menjadikan urus niaga ini sebagai transaksi pihak berkaitan yang perlu diluluskan secara telus oleh pemegang saham.- DagangNews.com