KUALA LUMPUR 14 Okt – Telekom Malaysia Berhad (TM) berupaya meningkatkan kadar pembayaran dividen dalam tempoh terdekat, susulan kedudukan kewangan kukuh dan aliran tunai yang sihat.
Menurut CGS International (CGSI), syarikat utiliti digital nasional itu dijangka boleh mencapai kedudukan tunai bersih sepenuhnya menjelang tahun kewangan 2028 jika mengekalkan dasar semasa.
Berdasarkan unjuran firma penyelidikan itu, meskipun TM meningkatkan kadar pembayaran dividen ke paras 90% seperti sebelum 2018, ia masih mampu mengekalkan nisbah hutang bersih yang rendah.
"Ini meletakkan ruang yang luas bagi pelaksanaan strategi pengurusan modal termasuk pembayaran dividen suku tahunan dan struktur pembiayaan perbelanjaan modal (capex) secara lebih agresif," katanya.
Tambah CGSI dalam notanya itu, ia mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham TM dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM8.70, berdasarkan pertumbuhan jangka panjang sebanyak 4.0%.
Firma itu melihat potensi kenaikan saham dipacu hasil dividen yang menarik pada 4.1% pada FY25, pulangan ekuiti (ROE) sihat iaitu 17.8%, dan penilaian nisbah harga kepada pendapatan bagi FY26.
Lawatan firma berkenaan ke TM Network Intelligence Centre di Cyberjaya menyerlahkan usaha TM mengukuh kedudukan sebagai peneraju digital melalui rangkaian gentian optik 740,000 kilometer.
"Pusat ini ada lebih 92,000 elemen rangkaian aktif dengan ciri laluan berganda memberi ketahanan infrastruktur tinggi, selain penggunaan meluas teknologi kecerdasan buatan (AI)," kata CGSI lagi.
Perkembangan terbaharu berkenaan tambahnya, membolehkan TM melaksanakan aktiviti penyelenggaraan ramalan, peningkatan pengalaman pelanggan dan pengurangan kos gangguan secara lebih berkesan.
Syarikat ini turut menekankan kestabilan daya tahan rangkaian merupakan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang sering terpinggir, namun kritikal dalam mengelakkan risiko reputasi.
TM juga kata CGSI, kini menggunakan AI memantau mutu kerja kontraktor di premis pelanggan bagi memastikan pemasangan mematuhi piawaian, serta mengelak gangguan perkhidmatan dan kos tidak perlu.
"Kami melihat langkah aktif tersebut sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh bagi syarikat telekomunikasi yang bersepadu ini dalam aspek pengurusan operasi pintar dan efisien," jelasnya.
Bagaimanapun, pada masa sama ia turut menyenaraikan beberapa risiko yang boleh menjejaskan momentum TM antaranya persaingan sengit dalam sektor jalur lebar runcit, dan kelembapan ekonomi.
Masalah berkenaan kata CGSI dikhuatiri boleh mengganggu permintaan segmen perusahaan, selain potensi capex tinggi sekiranya TM memutuskan membina rangkaian mudah alih yang tersendiri.
Secara keseluruhan, firma itu menilai gabungan kekuatan infrastruktur, penggunaan AI, dan disiplin kewangan membuka ruang untuk TM untuk mengukuhkan nilai kepada pemegang saham syarikat tersebut.
"Kami berasa yakin TM bukan sekadar berkembang menerusi prestasi operasi semasa, tetapi juga potensi pulangan tunai yang lebih tinggi,” menurut firma tersebut. - DagangNews.com








