TM ambil tindakan awal sebelum DOJ dakwa bekas pekerja kes penyelewengan RM80 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM ambil tindakan awal sebelum DOJ dakwa bekas pekerja kes penyelewengan RM80 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Mei - Telekom Malaysia Bhd (TM) memaklumkan syarikat itu telah memulakan siasatan dalaman lebih awal susulan syak wasangka terhadap salah laku melibatkan beberapa bekas pekerja TM USA Inc sebelum tindakan diambil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

 

TM berkata, individu terbabit tidak lagi bekerja dengan syarikat dan siasatan dalaman yang dijalankan sebelum ini membawa kepada pemecatan mereka.

 

“Maklumat hasil siasatan tersebut kemudiannya dikongsikan kepada pihak berkuasa berkaitan.

 

Artikel Berkaitan: Tiga bekas pekerja TM didakwa di Amerika Syarikat seleweng hampir RM80 juta dana syarikat

 

“Perkara ini kini berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan Mahkamah Amerika Syarikat. Syarikat akan terus memberikan kerjasama penuh kepada DOJ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kenyataan itu dibuat susulan laporan mengenai pertuduhan yang dikenakan terhadap beberapa bekas pekerja TM USA berkaitan dakwaan penyelewengan dana syarikat di Amerika Syarikat.

 

TM berkata, syarikat sentiasa menegakkan piawaian tadbir urus dan pematuhan yang ketat serta tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku.

 

“TM komited memastikan tahap integriti korporat tertinggi terus dipelihara dalam semua operasi syarikat,” katanya. - DagangNews.com