TLF buka kilang ayam garam herba di RTC Gopeng, teroka pasaran halal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TLF buka kilang ayam garam herba di RTC Gopeng, teroka pasaran halal

Mohd Zolkafly (dua dari kanan) dan Azizul Kama (empat dari kanan) semasa melancarkan pembukaan kilang pemprosesan ayam garam herba di RTC Gopeng.
Oleh Zaki Salleh

GOPENG 26 JUN – Tea Leave Flower Sdn. Bhd. (TLF) melancarkan pembukaan kilang pemprosesan ayam garam herba di RTC Gopeng di sini sebagai langkah memperkukuh industri makanan halal tempatan.

 

Ayam garam merupakan salah satu makanan tempatan yang terkenal dalam kalangan masyarakat Cina di Ipoh dan menjadi tarikan pelancongan gastronomi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif TLF, Dato' Azizul Kama Abdul Aziz berkata, aspirasi syarikat adalah menjadikan kilang tersebut berdaya saing dan mampu menembusi pasaran lebih luas terutama makanan halal.

 

Menurut beliau, pembukaan kilang berkenaan didorong oleh peningkatan permintaan terhadap makanan jalanan di sekitar Ipoh.

 

Makanan

 

Makanan

 

Kilang itu menghasilkan produk ayam garam pop, ayam garam salai, dim sum serta berfungsi sebagai pusat penyediaan makanan (centre kitchen) bagi Warong Katong di AEON Kinta City.

 

“Hasil penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan mendapati ayam kampung serta ayam muda memberikan rasa lebih manis apabila diperap bersama garam.

 

“Produk ayam garam herba diproses menggunakan garam laut selama dua jam sebelum digoreng rangup bagi memenuhi cita rasa pengguna tempatan,” ujarnya.

 

Terdahulu, majlis pelancaran kilang tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Perak, Datuk Seri Mohd Zolkafly Harun hari ini.

 

Hadir sama Pengarah FAMA negeri Perak, Azleena Zainal Abidin.

 

Makanan

 

Makanan

 

Azizul berkata, kajian selama tiga tahun turut membuka peluang menghasilkan makanan Cina halal bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.

 

Katanya, TLF juga telah memohon pensijilan halal serta mendaftar dengan MATRADE susulan permintaan dari Singapura dan beberapa negara ASEAN.

 

“Ketika ini kilang berupaya mengeluarkan sekitar 100 hingga 200 ekor ayam garam sehari melibatkan ayam seekor dan bahagian peha.

 

“Produk tersebut kini dipasarkan di bawah jenama Warong Katong dan Ayam Garam Herba, dengan perancangan memperluaskan pasaran melalui pelantikan ejen pemasaran,” ujarnya.

 

Selain itu, syarikat turut bekerjasama dengan Dewan Perniagaan Melayu Perak dan sebuah institusi perbankan bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda dalam sektor makanan dan minuman.  - DagangNews.com