KUALA LUMPUR 26 Jun - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan oleh Bestinet Sdn Bhd dan pengasasnya, Datuk Sri Aminul Islam Abdul Nor, berhubung laporan mengenai dakwaan eksploitasi pekerja asing yang dikaitkan dengan syarikat itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Roslan Mat Nor, ketika menyampaikan keputusan berkata, terdapat beberapa isu dalam alasan Bloomberg (Malaysia) berkaitan artikel yang dipertikaikan bertajuk Everyone Gets A Cut, And Migrant Workers Pay The Price yang memerlukan penelitian lanjut semasa perbicaraan.
Justeru kes berkenaan tidak boleh diputuskan secara ringkas hanya berdasarkan afidavit yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.
"Antara isu yang perlu ditentukan semasa perbicaraan ialah sama ada Bloomberg (Malaysia) benar-benar terlibat dalam penerbitan artikel berkenaan atau mempunyai kawalan ke atas serta mengendalikan laman web utama Bloomberg," katanya lapor The Edge.
Mahkamah turut memerintahkan Bloomberg (Malaysia) membayar kos sebanyak RM5,000.
Elemen Utama Perlu Dibuktikan
Terdahulu, peguam mewakili Bloomberg (Malaysia), Datuk Amer Hamzah Arshad daripada AmerBON Advocates berhujah bahawa dalam sesuatu tindakan fitnah, elemen utama yang perlu dibuktikan ialah penerbitan artikel atau kenyataan yang dipertikaikan.
Menurutnya, anak guamnya tidak terlibat dalam penerbitan artikel tersebut sama ada di Malaysia mahupun di negara lain.
Beliau berkata, laman web Bloomberg dengan jelas menyatakan bahawa artikel berkenaan diterbitkan oleh Bloomberg LP, syarikat induknya yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat, dan bukannya oleh Bloomberg (Malaysia).
"Oleh itu, saman fitnah terhadap Bloomberg (Malaysia) tidak mempunyai asas untuk diteruskan," katanya.
Bagaimanapun, peguam bagi pihak plaintif, Ravi Nekoo daripada firma guaman Nekoo berhujah bahawa Bloomberg (Malaysia) bukanlah entiti yang benar-benar berasingan daripada syarikat induknya dan mempunyai tanggungjawab tertentu terhadap penerbitan artikel tersebut.
Beliau turut menyatakan dakwaan Bloomberg (Malaysia) bahawa syarikat itu hanya menyediakan perkhidmatan sokongan tempatan tanpa kawalan terhadap kandungan penerbitan perlu diuji melalui perbicaraan penuh.
Selain Bloomberg LP dan Bloomberg (Malaysia), Bestinet serta Aminul Islam turut memfailkan saman terhadap lapan defendan lain, termasuk Malaysiakini, The Edge, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Saman itu berpunca daripada laporan Bloomberg yang diterbitkan pada Januari lalu mengenai operasi Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) milik Bestinet yang digunakan bagi memproses kemasukan pekerja asing ke Malaysia.
Bestinet dan Aminul Islam mendakwa kandungan laporan tersebut berunsur fitnah, tidak benar serta telah menjejaskan reputasi dan imej mereka. - DagangNews.com








