KUALA LUMPUR 10 Feb – Kumpulan Tiong Nam memberi jaminan bahawa operasi logistiknya kekal tidak terjejas walaupun ada sekatan kenderaan berat yang diperluaskan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada waktu puncak di laluan terpilih sekitar Lembah Klang.
Ini termasuk Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dari Sungai Buloh ke Bukit Lanjan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dari Shah Alam ke Jalan Duta, Lebuhraya Lingkaran Tengah (ELITE) dari Shah Alam ke Bandar Saujana Putra, dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).
Anak syarikat tersebut, Tiong Nam Logistics Solutions Sdn Bhd mengesahkan bahawa laluan pengangkutan berat digunakan para pemandunya tidak melalui laluan lebuh raya yang terjejas pada waktu terhad itu yang sekali gus memastikan operasinya lancar.
"Penghantaran kami secara kebiasaannya hanya berlepas selepas pukul 9 pagi demi memastikan operasi bergerak dengan lancar tanpa ada sebarang gangguan trafik dalam perjalanan," kata wakil syarikat berkenaan yang dipetik Business Times.
Berkuat kuasa mulai 19 Februari depan, sekatan baharu bakal dikenakan dari pukul 4.30 petang hingga 7.30 petang, pada Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk hari cuti umum), yang melengkapkan sekatan sebelah pagi yang sedia ada dari 6.30 pagi hingga 9.30 pagi.
Peraturan tempoh terhad tersebut bagaimanapun ditetapkan oleh LLM dengan menyasarkan jenis kenderaan berat Kelas 2 (dua gandar dan enam roda, tidak termasuk bas) dan kenderaan berat Kelas 3 (tiga gandar atau lebih, tidak termasuk bas).
Pengecualian namun diberikan pula untuk segala jenis kenderaan yang terlibat dalam kerja pembersihan, pengumpulan sisa domestik secara berkala, perkhidmatan kecemasan, operasi penguatkuasaan dan tugasan penyelenggaraan lebuh raya.
Langkah itu, sebahagian daripada usaha Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan Lalu Lintas untuk mengurangkan kesibukan trafik yang tinggi di Lembah Klang susulan pewartaan kerajaan pada 21 Oktober 2024.
Dalam pada itu, penganalisis industri dan peguam isu keselamatan jalan raya, Hezeri Samsuri memuji langkah kerajaan, sambil menyatakan bahawa, "jalan raya Malaysia menjadi semakin huru-hara, sama seperti situasi di negara dunia ketiga."
Beliau menambah bahawa syarikat-syarikat logistik di negara ini kemungkinan besar bakal mengalami kesan yang minimum, dengan mereka hanya perlu bijak dalam menyesuaikan laluan dan jadual pergerakan secara sewajarnya selepas ini.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif My Mobility Vision, Wan Agyl Wan Hassan juga menyokong pendekatan yang lebih dinamik dan berharap usaha tersebut dapat dipacu dengan penggunaan teknologi moden dalam pengurusan trafik.
"Slot masa tetap tidak mengambil kira keadaan trafik yang tidak menentu. Sehubungan itu Malaysia memerlukan sistem trafik yang lebih pintar dan dinamik serta mampu menyesuaikan diri dalam masa nyata kepada corak kesesakan sebenar," katanya.
Justeru Wan Agyl mencadangkan agar kerajaan memanfaatkan data masa nyata dan teknologi canggih, dengan mendapatkan inspirasi daripada kejayaan model global seperti di Singapura menerusi ERP 2.0 dan projek SOCRATES 2.0 di benua Eropah.
Sistem terlibat ujarnya, telah menunjukkan potensi untuk mengurangkan kesesakan, menurunkan kos bahan api, dan meningkatkan kebolehpercayaan kenderaan penghantaran barang dengan membenarkan fleksibiliti logistik ketika waktu bukan puncak.
Beliau juga menekankan nilai penyelesaian pengangkutan antara mod, dengan mencadangkan peralihan konvensional kepada beberapa pergerakan kargo antaranya kereta api atau kapal laut untuk mengurangkan tekanan lebuh raya.
Projek perintis di koridor utama seperti laluan masuk NKVE dan Pelabuhan Klang, ditambah dengan maklum balas pihak berkepentingan tetap ujar beliau, boleh membuka jalan kepada mobiliti bandar yang lebih bijak dan mampan.
Malah Wan Agyl percaya bahawa strategi ini akan membantu Malaysia mengimbangi keselamatan jalan raya, kecekapan, dan daya tahan ekonomi serta memupuk ekosistem pengangkutan sedia masa hadapan. - DagangNews.com








