Tindakan saman bekas pengendali Menara KL 'tidak berasas dan tidak boleh dibuktikan', kata LSH Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tindakan saman bekas pengendali Menara KL 'tidak berasas dan tidak boleh dibuktikan', kata LSH Capital

KUALA LUMPUR 28 Mac - Lim Seong Hai Capital Bhd yang disaman bekas pengendali Menara Kuala Lumpur menyifatkan tuntutan yang dikemukakan terhadap anak syarikatnya adalah tidak berasas dan tidak boleh dibuktikan.

 

"Pelantikan kami adalah berdasarkan perolehan yang diterajui kerajaan yang sah. Kami tidak mengetahui sebarang perjanjian yang dikatakan dibuat antara pengendali sebelum ini dan kerajaan," kata LSH Capital dalam satu kenyataan.

 

Syarikat yang tersenarai di Pasaran ACE itu sebelum ini mengumumkan snak syarikatnya, LSH BEST Builders Sdn Bhd dan LSH Service Master Sdn Bhd telah menerima writ sama dengan pernyataan tuntutan daripada bekas bekas pengendali, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd. 

 

Turut dinamakan sebagai defendan ialah kerajaan, Kementerian Komunikasi serta menterinya.

 

Tindakan undang-undang itu berkaitan dengan dakwaan pelanggaran kontrak dan salah laku yang membawa kepada pemberian konsesi kepada LSH Service Master.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pengendali Menara KL saman LSH Capital dan kerajaan, cabar anugerah konsesi

 

Plaintif memohon agar konsesi itu dipindahkan semula kepada mereka, bersama-sama kerugian dan ganti rugi RM20.13 juta, serta ganti rugi am untuk dinilai.

 

Kumpulan itu berkata, pelantikan LSH Service Master sebagai pemegang konsesi Menara KL mengikut proses perolehan yang diterajui kerajaan yang sah di mana syarikat itu membida kontrak itu melalui tender terbuka kerajaan bagi permohonan untuk cadangan (RFP) pada Februari 2024.

 

LSH Service Master memperoleh konsesi 20 tahun pada awal Mac bagi mengendalikan dan menyelenggara Menara KL dan kawasan sekitarnya, berkuat kuasa 1 April 2025.

 

Dalam saman itu, bagaimanapun, Menara Kuala Lumpur dan Hydroshoppe mendakwa wujud persefahaman sedia ada berhubung operasi dan pengurusan Menara KL, menurut LSH Capital. 

 

Mereka mendakwa, LSH Capital dan anak syarikatnya telah melakukan dorongan kerana melanggar kontrak yang telah dipersetujui plaintif dengan kerajaan dalam mesyuarat bertarikh 1 Ogos 2022.

 

LSH Capital berkata, tuntutan mahkamah itu tidak dijangka menyebabkan sebarang kesan kewangan atau operasi material kepada kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, selain daripada kos perundangan. 

 

"Kami tetap komited sepenuhnya untuk memenuhi kewajipan di bawah konsesi bermula 1 April 2025," katanya.

 

LSH Capital berkata, kumpulan mahupun anak syarikatnya tidak mengetahui atau dimaklumkan tentang "sebarang mesyuarat, persefahaman atau pengaturan sebelum ini" antara plaintif dan kerajaan.

 

Ia menegaskan, bidaan dan pemilihannya untuk jawatan itu semata-mata berdasarkan proses rasmi yang digariskan dalam RFP kerajaan.

 

“Kerajaan mengeluarkan panggilan terbuka untuk RFP, menjemput syarikat Malaysia yang memenuhi syarat minimum untuk menyertai taklimat dan lawatan tapak pada 4 Mac 2024. Pasukan LSH Capital menghadiri taklimat itu, membeli dokumen RPF, dan mengemukakan cadangannya dengan mematuhi sepenuhnya keperluan.

 

"Kami dipilih berdasarkan kekuatan penyerahan cadangan kami dan keupayaan terbukti," katanya.

 

LSH Capital menegaskan anugerah LSH Service Master bagi konsesi Menara KL diperoleh melalui proses RFP yang adil dan terbuka dan menyatakan pendiriannya untuk mempertahankan kedudukannya.

 

“Dalam pada itu, adalah komitmen berterusan kami untuk menumpukan pada melaksanakan kewajipan kami di bawah konsesi mulai 1 April 2025,” katanya. - DagangNews.com