KUALA LUMPUR 28 Mac - Bekas pengendali Menara Kuala Lumpur memfailkan saman terhadap anak syarikat Lim Seong Hai Capital Berhad dan kerajaan Malaysia, bagi mencabar pemberian konsesi kepada LSH Service Master Sdn Bhd.
Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan syarikat induknya, Hydroshoppe Sdn Bhd mendakwa berlaku pelanggaran kontrak serta salah laku yang membawa penganugerahan konsesi kepada LSH Service Master.
Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LSH Capital berkata, LSH Best Builders Sdn Bhd (LSHBB) milik penuhnya telah diserahkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu, bersama dengan LSH Service Master yang dimiliki kepentingannya sebanyak 70 peratus.
Turut dinamakan sebagai defendan ialah rakan usaha sama Service Master (M) Sdn Bhd (SMSB), yang memegang baki 30 peratus dalam LSH Servive Master, bersama kerajaan, Kementerian Komunikasi serta menterinya.
Tindakan itu berlaku hanya sehari selepas LSH Capital mengumumkan perancangan untuk 'meremajakan' kawasan seluas 10 ekar di sekitar Menara Kuala Lumpur menjadi destinasi bersepadu untuk pelancongan, peruncitan dan penglibatan kebudayaan.
LSH Servive Master telah menandatangani perjanjian selama 20 tahun dengan kerajaan untuk mengendalikan dan menyelenggara menara tersebut serta kawasan sekitarnya, yang berkeluasan kira-kira 10.08 ekar.
Perjanjian itu berkuat kuasa mulai 1 April 2025.
Dalam makluman terbaharunya kepada bursa, LSH Capital berkata, plaintif iaitu Hydroshoppe dan MKLSB, mendakwa LSH Capital dan anak syarikatnya menyebabkan pelanggaran kontrak yang dipersetujui oleh plaintif dengan kerajaan pada mesyuarat 1 Ogos 2022.
Mereka juga mendakwa bahawa LSH dan unitnya telah menerima dan/atau melakukan bantuan secara tidak jujur, manakala pemberian konsesi kepada LSH Servive Master adalah terbatal serta menyalahi undang-undang.
Plaintif mahu konsesi itu dipindahkan semua kepada mereka, dengan defendan perlu membayar RM20.13 juta sebagai kerugian dan ganti rugi, dikira pada kadar faedah tahunan 5 peratus, serta ganti rugi am untuk dinilai.
Penganugerahan konsesi Menara Kuala Lumpur kepada LSH Master Service diumumkan Kementerian Komunikasi pada Mei tahun lalu, susulan penilaian tender oleh kerajaan dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, keputusan itu dibuat selepas meneliti tender dan cadangan yang dikemukakan melalui proses permohonan untuk cadangan (RFP).
Menara Kuala Lumpur merupakan aset milik kerajaan, pernah disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan penyelewengan penjualan MKLSB, yang ketika itu anak syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) kepada Hydroshoppe pada Oktober 2022.
MKLSB menguruskan menara itu sehingga TM, pada Oktober 2021, memutuskan untuk tidak memperbaharui konsesi, susulan peralihan fungsi menara daripada perkhidmatan telekomunikasi kepada operasi yang mementingkan pelancongan dan hospitaliti.
Pada April 2023, kedua-dua Hydroshoppe dan Pengarahnya, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh didakwa menawarkan RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Tan Sri Annuar Musa untuk mempercepatkan pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur oleh Hydroshoppe.
Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Sementara itu, LSH Capital berkata ia telah mendapatkan khidmat penasihat undang-undang untuk mempertahankan LSHBB dan LSH Servive Master terhadap saman berkenaan.
"Pada peringkat awal ini, selain daripada amaun dituntut oleh plaintif, kos perundangan sepadan dan apa-apa relif difikirkan sesuai, adil dan wajar oleh mahkamah yang mulia, writ saman dengan penyata tuntutan itu tidak dijangka ada apa-apa kesan kewangan serta operasi material lain ke atas kumpulan LSH Capital bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025," katanya. - DagangNews.com








