Tiga daripada 7 token reka bentuk cip Arm telah diagihkan, syarat utama kerjasama dengan syarikat tempatan – Johari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiga daripada 7 token reka bentuk cip Arm telah diagihkan, syarat utama kerjasama dengan syarikat tempatan – Johari

Gambar/ Facebook SEMI SEA
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Mei - Malaysia telah memperuntukkan tiga daripada tujuh token reka bentuk litar bersepadu (IC) maju milik Arm Holdings kepada pemain industri, dengan syarat utama mereka perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu bertujuan memperkukuh ekosistem semikonduktor negara melalui pemindahan teknologi dan pembangunan keupayaan tempatan.

 

“Daripada tujuh, kita telah memberikan tiga kepada beberapa pemain industri, dengan syarat mereka bekerjasama dengan syarikat tempatan,” katanya kepada media selepas merasmikan SEMICON Southeast Asia 2026 di sini hari ini.

 

Token Arm merupakan lesen yang membolehkan syarikat menggunakan pelan reka bentuk cip yang dibangunkan oleh syarikat teknologi berpangkalan di United Kingdom itu.

 

Agihan lesen masih berjalan

Selain tujuh token bagi Arm Compute Subsystems (CSS) maju, Johari memaklumkan kira-kira lima syarikat telah menerima token asas di bawah program Arm Flexible Access (AFA), dengan proses pengagihan masih diteruskan.

 

Menurut beliau, Malaysia mempunyai tempoh empat tahun untuk mengenal pasti rakan strategik yang sesuai bagi baki lesen tersebut.

 

“Proses ini masih berjalan kerana kita mempunyai tempoh empat tahun untuk menilai rakan kerjasama terbaik bagi memanfaatkan reka bentuk IC ini,” katanya. - DagangNews.com