KUALA LUMPUR 7 Jan - Tien Wah Press Holdings Berhad menjalin usaha sama (JV) dengan MyTelehaus Sdn Bhd (MYT) untuk membangunkan, memiliki, memajak, dan mengendalikan sebuah pusat data (DC).
Kumpulan tersebut berkata, projek terbaharu itu melibatkan syarikat sekutunya, Lum Chang Tien Wah Property Sdn Bhd (LCTWP) yang merupakan syarikat JV antara TWPH dan Kemensah Holdings Pte Ltd.
Kedua-dua pihak akan melaksanakan pembangunan, pemilikan, penyewaan dan pengoperasian DC di sebahagian daripada tanah milik LCTWP seluas kira-kira 0.65 hektar di Petaling Jaya, Selangor.
"LCTWP akan menyediakan tanah serta membiayai pembinaan struktur asas dan kerangka bangunan, manakala MYT bertanggungjawab dalam beberapa aspek lagi," maklum Tien Wah kepada Bursa Malaysia.
Ini jelasnya, termasuk mendapatkan kelulusan peraturan, mereka bentuk, melengkapkan, mengendalikan, memasarkan dan menyewa DC itu, dengan tempoh pajakan tanah kepada MYT ditetapkan selama 30 tahun.
Hasil daripada operasi dan penyewaan DC ini akan dikongsi antara LCTWP dan MYT berdasarkan sumbangan modal masing-masing, dengan nisbah keuntungan untuk LCTWP dijangka bermula pada 50%.
Pengagihan separuh itu jelas Tien Wah, berdasarkan kapasiti operasi pada peringkat awal, namun nisbah tersebut akan menurun kepada 20% apabila pembangunan fasa penuh kerja-kerja sudah selesai.
"Projek ini adalah tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan, perjanjian kontrak pembinaan serta perjanjian pajakan yang akan dilaksanakan dalam tempoh tertentu," tambahnya.
Selain itu, kumpulan berkenaan dijangka menyumbang kira-kira RM15.3 juta daripada keperluan modal LCTWP sebanyak RM115 juta melalui gabungan dana dalaman, pembiayaan bank dan pinjaman saham.
Justeru, Tien Wah menjangkakan projek ini tidak akan memberi kesan material terhadap pendapatan sesaham, aset bersih atau pemilikan pemegang saham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Bagaimanapun tambahnya, Lembaga Pengarah berpendapat, ia berpotensi menyumbang secara positif kepada keuntungan kumpulan pada masa depan, dengan mengoptimumkan nilai aset tanah syarikat.
"Risiko utama termasuk komitmen penggunaan tanah, pelaksanaan projek, kelulusan peraturan, prestasi operasi MYT dan kepelbagaian pulangan bergantung kepada permintaan pasaran," katanya. - DagangNews.com








