AS tidak sentuh isu hak Bumiputera dalam pemeteraian ART — Dewan Negara dimaklumkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AS tidak sentuh isu hak Bumiputera dalam pemeteraian ART — Dewan Negara dimaklumkan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Dis - Amerika Syarikat (AS) tidak pernah menuntut atau membangkitkan isu hak Bumiputera sebagai antara klausa dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Malaysia.


Perkara itu dijelaskan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dan menegaskan tiada keperluan secara khusus pengecualian berkaitan hak Bumiputera dalam komitmen ART.


Sebaliknya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengakui yang kerajaan sentiasa dan terus komited mempertahankan dasar Bumiputera dalam mana-mana perjanjian dengan pihak luar.


"Tiada klausa dalam ART yang memberi keistimewaan atau hak Bumiputera kepada AS,” kata beliau ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara hari ini.


Chin Tong turut menekankan yang ART turut tidak mewajibkan pelaksanaan liberalisasi secara penuh dalam sektor ekonomi bersifat sensitif yang akan membuka luas akses kepada syarikat-syarikat AS.


Isu perolehan kerajaan juga jelas beliau, langsung tidak termasuk dalam skop komitmen ART dan ia tidak menyekat Malaysia daripada menyertai mana-mana blok perdagangan serantau seperti BRICS.


“ART tidak menghalang Malaysia menyertai mana-mana blok. Dasar kerajaan adalah kita tidak berpihak kepada AS, kita tidak berpihak kepada China. Kita mengamalkan neutraliti aktif,” tegas beliau.


Selain itu, Chin Tong memberi jaminan yang pihak kerajaan akan terus memantau pelaksanaan perjanjian dan sebarang isu yang timbul akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa bersama.


Ia dipengerusikan oleh MITI sendiri dan wakil perdagangan AS sebaik berkuat kuasa bagi memastikan apa-apa perkara berbangkit kekal selaras dengan kepentingan negara,” katanya. - DagangNews.com