Tian Siang Premium Auto buka pusat pameran MINI di Ipoh, luaskan pasaran di kawasan utara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tian Siang Premium Auto buka pusat pameran MINI di Ipoh, luaskan pasaran di kawasan utara

Pusat pameran MINI di Ipoh merupakan premis kedua di Malaysia.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 3 Dis – Syarikat Tian Siang Premium Auto telah membuka pusat pameran terbaru kenderaan MINI di Ipoh bagi memperluaskan pasaran di kawasan utara semenanjung.

 

Ini merupakan pusat pameran MINI kedua di Malaysia selepas di Bangsar, Kuala Lumpur.

 

Terletak di Jalan Tunku Abdul Rahman, lokasi strategik ini mempunyai keluasan 1,981 meter persegi dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bertaraf premium.

 

Pusat pameran ini boleh mempamerkan 5 kenderaan pada satu-satu masa yang turut menyediakan ruang santai kepada pelanggan.

 

Perak
Pusat pameran ini mempamerkan 5 buah kenderaan dalam ruang yang ekslusif.

 

Ia dikendalikan 12 petugas terlatih bagi memberikan layanan eksklusif.

 

Pengurus Besar BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel dalam kenyataan memberitahu, pembukaan pusat pameran ini mencerminkan komitmen pihaknya untuk memberikan pengalaman unik kepada peminat MINI di Malaysia. 

 

"Kami sangat teruja untuk membuka bilik pameran MINI kedua di Malaysia.

 

“Pengembangan ini tidak hanya menandakan komitmen kami dalam menyampaikan pengalaman MINI yang eksklusif, tetapi juga mencerminkan sambutan hangat terhadap jenama MINI di negara ini," katanya.

 

Dalam usaha memperkukuhkan komitmen terhadap teknologi hijau, BMW Group Malaysia juga menyediakan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di premis ini.

 

Perak

 

Perak

 

Kerjasama dengan Gentari menyediakan pengecas AC dan DC yang mesra pengguna. 

 

Terdapat dua pengecas DC berkapasiti 180 kW yang boleh digunakan pada kadar RM1.70 setiap kWh, manakala dua pengecas AC dengan kapasiti 22 kW disediakan secara percuma kepada pelanggan.

 

“Penyediaan kemudahan pengecasan EV di pusat pameran ini adalah langkah selanjutnya dalam usaha kami membina ekosistem yang menyokong mobiliti elektrik dan memastikan pengalaman pemilikan premium yang menyeluruh kepada pelanggan kami,” ujar Benjamin.

 

Perak

 

Sementara itu, Prinsipal Pengedar Tian Siang Premium Auto, Mak Kam Hong pula menegaskan komitmen mereka untuk memberikan pengalaman MINI yang terbaik di Ipoh. 

 

“Sebagai pengedar BMW Group Malaysia sejak tahun 2007, kami berbangga dapat menyediakan ruang dinamik bagi peminat MINI di Ipoh untuk merasai pengalaman memandu yang mengujakan serta kekuatan identiti jenama MINI,” ujar beliau. - DagangNews.com