KUALA LUMPUR 4 Mei – IQ Group Holdings Bhd mengumumkan penutupan operasi pembuatan anak syarikat milik penuhnya, IQ Group Sdn Bhd (IQM) berkuat kuasa 5 Mei 2026 susulan ketiadaan tempahan baharu selepas pengeluaran terakhir disiapkan bulan lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata keputusan berkenaan dibuat selepas menyiapkan kumpulan pengeluaran terakhir pada 17 April 2026 tanpa sebarang pesanan susulan.
Menurutnya, langkah tersebut selaras dengan usaha penyusunan semula aktiviti pembuatan bagi meningkatkan kecekapan kos serta penggunaan sumber yang lebih optimum di seluruh operasi kumpulan.
IQ Group menjangkakan proses penutupan itu akan diselesaikan sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun ini.
“Langkah ini tidak akan memberi kesan negatif material terhadap kedudukan kewangannya, sebaliknya dijangka menyumbang kepada kecekapan operasi jangka panjang,” katanya dalam makluman tersebut.
Dalam tempoh tiga tahun kewangan lalu, IQM dilaporkan mengalami penurunan ketara dalam jumlah pengeluaran, sebahagian besarnya disebabkan perubahan keutamaan pelanggan yang beralih kepada sumber bekalan dari China bagi mendapatkan kos yang lebih kompetitif.
Selain itu, pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat turut memberi kesan kepada permintaan terhadap produk yang dihasilkan oleh IQM, sekali gus menjejaskan jumlah tempahan.
Selepas menilai keperluan operasi serta keterlihatan tempahan masa hadapan, kumpulan memutuskan untuk menghentikan sepenuhnya operasi pembuatan IQM.
Dari segi tenaga kerja, sebahagian kecil kakitangan sedia ada akan dikekalkan dan diserap bagi mengurus rantaian bekalan pihak ketiga serta penyelarasan pengeluar luar di Kemboja dan Vietnam.
Manakala selebihnya yang terlibat dalam operasi pembuatan akan menjalani proses pemberhentian kerja secara berperingkat mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
IQ Group menjelaskan bahawa penutupan operasi IQM tidak menjejaskan operasi lain kumpulan termasuk kemudahan pembuatan di China serta pejabat di Taiwan, Jepun dan United Kingdom.
Operasi IQM juga bukan penyumbang utama kepada kumpulan, dengan hanya kira-kira lima peratus daripada hasil keseluruhan terjejas akibat langkah tersebut.
Dari sudut kewangan, penutupan ini dijangka melibatkan kos sekali sahaja dianggarkan sebanyak RM2.9 juta, merangkumi pelupusan inventori sebanyak RM460,000, hapus kira aset tetap bernilai RM130,000 serta pampasan pemberhentian pekerja sekitar RM2.31 juta.
Bagaimanapun, kumpulan menjangkakan penjimatan kos tahunan sekitar RM1.81 juta pada tahun-tahun kewangan akan datang hasil daripada penstrukturan semula tersebut. - DagangNews.com








