KUALA LUMPUR 21 Ogos – Kegagalan pelaburan Khazanah Nasional Berhad di dalam FashionValet berpunca daripada ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan analisis ke atas pelaburan yang telah dilupuskan dengan kerugian melebihi ambang material.
Perkara berkenaan didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menerusi laporan PAC yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini dan turut menyatakan kegagalan disebabkan strategi kepelbagaian yang berisiko tinggi.
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, siasatan mendapati walaupun pelaburan itu melalui proses wajar, tiada prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan analisis ke atas pelaburan yang telah dilupuskan dengan kerugian melebihi ambang material.
“Ketiadaan SOP ini menjejaskan keupayaan Khazanah untuk memperkukuhkan pembelajaran institusi dan akauntabiliti dalam pelaburan berisiko,” kata beliau pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Selain itu, beliau mendedahkan faktor kejutan pasaran akibat wabak pada masa berkenaan serta perubahan ketara dalam tingkah laku pengguna pasca pandemik.

Laporan PAC itu menggariskan lima penemuan utama berkaitan pelaburan domestik Khazanah di bawah Kementerian Kewangan (MOF), termasuk struktur tadbir urus pelaburan berlapis dan pemantauan strategik oleh kerajaan yang tidak mencampuri urusan operasi harian, selaras amalan tadbir urus baik.
PAC turut menekankan wujud ketidaksejajaran antara mandat komersial Khazanah untuk menjana pulangan pelaburan dan peranannya sebagai instrumen pembangunan negara yang tertakluk kepada keutamaan dasar kerajaan.
Bagaimanapun, pendekatan pelaburan modal teroka (VC) oleh Khazanah melalui kaedah 'dana kepada dana’ dianggap bersesuaian dalam merangsang ekosistem inovasi domestik walaupun ia berisiko tinggi secara semula jadi.
Susulan dapatan tersebut, PAC mencadangkan empat langkah penambahbaikan, antaranya Khazanah perlu mendidik orang awam secara berterusan mengenai strategi dan risiko pelaburan VC, termasuk melalui laporan tahunan, siaran media, dan platform komunikasi lain.
Selain itu, ia wajar mewujudkan SOP analisis bedah siasat bagi semua pelaburan yang dilupuskan dengan kerugian material dan laporan berkenaan perlu dibentangkan kepada Jawatankuasa Audit Lembaga dan Lembaga Pengarah.
PAC turut mengesyorkan Khazanah mengukuhkan rangka kerja pengurusan risiko dengan menambah baik analisis senario untuk menangani kejutan bukan pasaran seperti perubahan teknologi, pandemik, geopolitik, dan sentimen sosial.
"Laporan suku tahunan kepada MOF perlu merangkumi penilaian menyeluruh prestasi pelaburan, dan bukan sekadar metrik kewangan," katanya.
PAC menjalankan prosiding berikutan kerugian yang ditanggung daripada pelaburan dalam FashionValet, yang mencetuskan persoalan mengenai tadbir urus dan strategi pelaburan domestik Khazanah.
Antara pihak yang dipanggil memberi keterangan termasuk Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan MOF, Afidah Azwa Abdul Aziz dan Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.
Turut dipanggil PAC ialah Ketua Pegawai Pelaburan Khazanah, Datuk Hisham Hamdan, dengan sesi pendengaran telah diadakan pada 20 Februari 2025. - DagangNews.com








