Tiada risiko gelembung hartanah di Johor, tetapi ada taktik jualan mengelirukan – penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada risiko gelembung hartanah di Johor, tetapi ada taktik jualan mengelirukan – penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Sept – Walaupun pasaran hartanah Johor menunjukkan momentum kukuh hasil pelaksanaan banyak projek besar, isu sebenar yang membelenggu pasaran bukanlah gelembung hartanah.


Sebaliknya menurut pakar analisis industri berkenaan, isu ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan dikenal pasti muncul terutama selepas pembangunan rancak Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).


Ketua Pegawai Eksekutif Olive Tree Property Consultants (Johor) Sdn Bhd, Samuel Tan berkata, cabaran utama isu datang daripada kos bahan binaan, buruh dan pematuhan yang semakin meningkat.

 

 

 

 

 


"Situasi berkenaan sekali gus menjejaskan tahap kebolehmampuan bakal pembeli rumah," katanya pada webinar bertajuk 'Pasaran Hartanah Johor Dipantau: Kisah Pertumbuhan atau Risiko Gelembung?'.


Beliau turut membangkitkan isu taktik jualan mengelirukan masyarakat menerusi pelbagai platform media sosial yang boleh mencetuskan persepsi tidak tepat terhadap permintaan sebenar di lapangan.


Menurutnya, sesetengah kes melibatkan kerjasama dengan ejen pemasaran, manakala dalam kes yang lain, ada berita palsu disebar luas untuk mencetuskan sentimen keterujaan pasaran secara palsu.


“Ada projek hartanah yang kononnya dilaporkan sebagai ‘sudah habis dijual dalam sehari’, tetapi sebenarnya hanya tempahan awal dengan jumlah nominal, bukan pun angka jualan sebenar,” ujar Tan.


Justeru, beliau mencadangkan beberapa langkah tegas termasuk tindakan undang-undang, peningkatan pengawasan pihak berkuasa, dan penggunaan teknologi bagi menyelaras penawaran dengan permintaan.


Sementara itu, Ketua Perisikan Hartanah PropertyGuru, Dr Lee Nai Jia pula menekankan sebahagian besar pembeli dari Singapura terus memainkan peranan penting dalam pasaran hartanah di Johor.


Keadaan tersebut jelas beliau, khususnya golongan pesara kerajaan yang mencari rumah mampu milik, dan keluarga yang menghantar anak mereka belajar ke sekolah antarabangsa di negeri berkenaan.


"Bagaimanapun, saya turut mengingatkan yang corak permintaan ketika ini mudah terjejas oleh faktor luaran, termasuk turun naik kadar mata wang dan ketegangan geopolitik serantau," tambah beliau.


Secara keseluruhan, walaupun prospek Johor disokong oleh projek infrastruktur besar dan permintaan silang sempadan, kedua-dua pakar menegaskan banyak isu yang terlibat dalam mempengaruhi sentimen.

 

 

 

 

 

 


Ini tambah mereka, termasuk ketelusan, dasar yang berpandukan data dan akses maklumat kepada perumahan mampu milik adalah kunci kepada pertumbuhan jangka panjang secara mampan di Johor.


Webinar tersebut dianjurkan oleh anak syarikat milik penuh Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Hartanah dan Perunding Harta Sektor Swasta Malaysia (PEPS), iaitu PEPS Venture. - DagangNews.com