Tiada lonjakan ketara hasil sektor minyak dan gas dalam masa terdekat, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada lonjakan ketara hasil sektor minyak dan gas dalam masa terdekat, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Ogos — Sektor minyak dan gas (O&G) tempatan dijangka tidak menyaksikan sebarang lonjakan pendapatan ketara kepada syarikat terbabit dalam masa terdekat, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, keadaan itu disebabkan pelbagai faktor negatif antaranya harga komoditi lebih rendah, pengurangan perbelanjaan modal dan pasaran perkhidmatan yang lebih mencabar.

 

Bagaimanapun tambahnya, sebahagian besar masalah itu diimbangi oleh faktor positif seperti daya tahan sektor gas asli, permintaan pertengahan yang lebih stabil dan prospek strategik jangka panjang.

 

"Secara am, sektor O&G Malaysia kini berada dalam keadaan keseimbangan, namun kami menjangka tiada lonjakan besar pendapatan atau penilaian untuk tempoh terdekat," kata MBSB Research dalam notanya.

 

Tambahnya, bekalan minyak global dijangka kekal tenang pada Ogos 2025, didorong oleh pengurangan berterusan pemotongan pengeluaran sukarela oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

 

Situasi itu katanya, namun tidak menyaksikan peningkatan harga apabila pertumbuhan pengeluaran yang mampan dicatatkan dari negara-negara bukan OPEC+ terutamanya Brazil dan Amerika Syarikat (AS).

 

MBSB Research berkata, satu lagi halangan untuk harga minyak ialah peningkatan inventori minyak global, kebanyakannya dari China, yang memberi kesan besar kepada sektor perindustrian di seluruh dunia.

 

"Sektor O&G mujur ada elemen asas kukuh menghalang kejatuhan besar, memastikan ia akan berprestasi secara luas sejajar pasaran lebih luas, dengan pemangkin jangka pendek secara terhad," katanya.

 

Pada keseluruhannya, ia menjangkakan harga minyak mentah penanda aras Brent akan berada pada purata sekitar AS$67 (RM283.60) setong pada Ogos 2025, kecuali terdapat asas ketara kepada peningkatan.

 

Selain itu, MBSB Research mengekalkan kewaspadaan terhadap risiko geopolitik yang boleh menyebabkan lonjakan harga mendadak, serta sebarang keputusan OPEC+ selanjutnya mengenai pemotongan bekalannya.

 

Keadaan itu tambahnya, menandakan pasaran mungkin dibekalkan dengan baik dalam beberapa bulan akan datang serta pertumbuhan permintaan diunjurkan perlahan disebabkan ketidaktentuan dalam ekonomi.

 

"Kami boleh menjangkakan banyak syarikat O&G Malaysia, terutamanya yang terlibat dalam huluan, berkemungkinan melaporkan pendapatan lebih rendah pada asas tahun ke tahun," kata firma berkenaan.

 

Berdasarkan trend peralihan pantas kepada tenaga hijau, ia mengekalkan pendirian 'neutral' ke atas sektor itu dengan saham pilihan ialah MISC Berhad dan harga sasarannya ialah RM8.13. - DagangNews.com