Tiada jaminan Semico mampu ulangi pertumbuhan tahunan terkumpul 105%, kata Malacca Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada jaminan Semico mampu ulangi pertumbuhan tahunan terkumpul 105%, kata Malacca Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 31 Dis — Belum ada jaminan Semico Capital Berhad mampu mengekalkan purata kadar pertumbuhan hasil tahunan terkumpul (CAGR) 105.17% selepas penyenaraian pada 13 Januari 2026.


Menurut Malacca Securities, penilaian tersebut berdasarkan situasi semasa pasaran permainan hiburan keluarga di Malaysia yang dijangka tidak menentu berbanding dengan tahun-tahun kewangan sebelumnya.


Tambahnya, kumpulan berkenaan mustahil mampu mengulangi prestasi CAGR dicatatkan lebih 100% itu dari FY22 hingga FY24 kerana suasana selepas ini adalah berbeza dan diramalkan banyak persaingan.


"Bagaimanapun, kami menilai prospek Semico sebagai masih kukuh berikutan strategi perniagaan yang mantap dan potensi pasaran berkembang," jelas firma penyelidikan tersebut dalam notanya hari ini.


Keyakinan Malacca Securities itu bersandarkan rekod penyedia rumusan hiburan yang berasaskan tema Malaysia, aktif terlibat dalam pembekalan mesin arked dan pengoperasian pusat hiburan keluarga.


Jelasnya, kumpulan berkenaan turut serius dalam aktiviti pengedaran mainan dan koleksi, dengan syarikat itu beroperasi melalui dua segmen utama, iaitu hiburan keluarga serta mainan dan koleksi.


Justeru, ia meramalkan CAGR keuntungan teras Semico selama tiga tahun berlegar 23.1%, dengan untung selepas cukai (PAT) sepanjang tempoh itu dijangka mencapai RM8.5 juta hingga RM11.3 juta.


"Pertumbuhan sederhana ini disokong oleh pelancaran secara berterusan pelbagai mesin arked dan hiburan keluarga menggunakan dana hasil tawaran awam permulaan (IPO)," kata Malacca Securities.


Selain itu tambahnya, peningkatan populariti mainan dan koleksi tertentu serta hak pengedaran eksklusif dijangka membolehkan kumpulan tersebut mengekalkan margin keuntungan sebanyak dua digit.


Dalam FY25, Semico mencatatkan pendapatan RM29.7 juta, meningkat kira-kira 34.4% tahun ke tahun (YoY) berbanding RM22.1 juta dicatatkan pada FY24, dengan PAT ialah RM6.6 juta, naik 26.1% YoY.


Malacca Securities menambah, segmen hiburan keluarga kumpulan itu menyumbang sebanyak 46.5%, manakala mainan dan koleksi pula adalah 53.5% daripada keseluruhan jumlah pendapatan pada FY25. 


"Mesin arked tumbuh pesat daripada 58 unit (FY22) kepada 650 unit (FY25) disokong oleh model perkongsian hasil dan sewaan, dengan kadar penggunaan 98.2% dan margin kasar 64.8%," jelasnya.


Semico juga memanfaatkan hak pengedaran eksklusif untuk jenama tertentu seperti ACE Amusement, Dreamfuns, Superwing, UNIS, dan Pop Mart, membolehkan pembelian pukal dan margin lebih kukuh.


Segmen mainan dan koleksi pula kata Malacca Securuties, mencatatkan CAGR 82.5% sejak FY22, dengan penguasaan pasaran kira-kira 8.8% bagi pasaran mainan pop di Malaysia sepanjang tahun ini sahaja.


Syarikat itu turut mengurus pusat hiburan di The Mines sebagai ruang pameran dan platform maklumat pasaran, membolehkan pelanggan menguji mesin serta menyediakan data trend masa secara nyata.


"Kami melihat Semico kini berada dalam kedudukan baik meningkatkan penguasaan pasaran, disokong rangkaian edaran luas, kapasiti berkembang selepas IPO, dan permintaan tinggi," katanya lagi.


Malacca Securities menilai wajar sahamnya pada 35 sen sesaham selepas penyenaraian, berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 13.5 kali terhadap keuntungan sesaham (EPS) FY27 sebanyak 2.59 sen.


Prospek sahamnya dijangka bertambah 40% daripada harga semasa 25 sen, namun memberi amaran risiko utama termasuk pergantungan tinggi kepada pelanggan besar seperti Mix Metro dan Aeon Fantasy.


Secara keseluruhan, Semico berpotensi mengekalkan pertumbuhan kukuh, tetapi pelabur dinasihatkan berhati-hati kerana prestasi masa depan mungkin tidak mencapai kadar CAGR tinggi. - DagangNews.com