Tiada bayaran dibuat kepada Aerotree kerana gagal hantar helikopter Black Hawk | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada bayaran dibuat kepada Aerotree kerana gagal hantar helikopter Black Hawk

Kontrak helikopter secara sewaan dibatalkan Mindef setelah pesawat gagal dihantar.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kementerian Pertahanan (Mindef) tidak membuat sebarang bayaran kepada Aerotree Defence & Services Sdn. Bhd. (ADSSB) semasa kontrak perolehan secara sewaan helikopter Black Hawk, kata Dato Seri Mohamed Khaled Nordin.

 

“Tiada sebarang pembayaran dibuat kepada pihak syarikat dalam tempoh kontrak masih berkuatkuasa memandangkan kegagalan syarikat membekalkan helikopter yang diperlukan,” kata Mohamed Khaled.

 

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian pada Khamis (6 Mac) dalam jawapan Parlimen kepada soalan Dato' Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah).

 

 

Ikhmal Hisham ingin tahu berapa jumlah yang telah dibayar oleh Mindef kepada ADSSB. daripada kos siling RM187 juta nilai kontrak sewaan helikopter Black Hawk sebelum kontrak berkenaan dibatalkan pada awal November 2024 lalu.

 

Helikopter

 

Mohamed Khaled menjelaskan, keputusan Mindef itu sejajar dengan syarat Surat Setuju Terima (SST) yang menetapkan tarikh akhir pembekalan yang telah berakhir pada 30 Oktober 2024.

 

“Kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak meneruskan kontrak ini atas kegagalan syarikat membekalkan helikopter mengikut jadual yang ditetapkan,” tambah Mohamed Khaled.

 

Kontrak bagi perolehan helikopter Black Hawk secara sewaan ini telah dimeterai Minded dengan ADSSB untuk Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) bagi tempoh 5 tahun yang berkuatkuasa mulai 30 April 2023 hingga 29 April 2028.

 

Bagaimana pun, penghantaran 4 buah helikopter Black Hawk ini secara berperingkat-peringkat telah tertangguh beberapa kali sehinggalah Mindef menyerahkan notis pembatalan kontrak kepada ADSSB pada November. - DagangNews.com