KUALA LUMPUR 6 Feb - Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan supaya dapat mempercepatkan pelaksanaan peraturan pengisytiharan aset mandatori bagi semua pegawai awam.
Malah langkah tersebut ujar Presidennya, Dr Muhammad Mohan perlu merangkumi Ahli-ahli Parlimen dalam usaha menegakkan lagi imej ketelusan dan tadbir urus yang lebih baik.
Walaupun ada beberapa calon ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 secara sukarela mengisytiharkan harta mereka sebelum hari pengundian, amalan berkenaan perlu diperluaskan kepada semua.
“Perbincangan dan keputusan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Tadbir Urus Negara baru-baru ini, telah menekankan keperluan format baharu dan dipertingkatkan bagi pengisytiharan aset.
“Inisiatif ini adalah langkah penting dalam memastikan kebertanggungjawaban dan mencegah amalan rasuah daripada berleluasa dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jawatankuasa berkenaan malah dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggambarkan keseriusan kerajaan menambah baik tadbir urus pihak kerajaan.
Muhammad juga menggesa kerajaan mengutamakan pelaksanaan format baharu ini dan memastikan pengisytiharan aset pegawai awam dan penggubal undang-undang boleh diakses secara terbuka.
"Ketelusan melalui pengisytiharan aset bukan sahaja ukuran integriti tetapi juga aspek asas untuk membina kepercayaan orang ramai terhadap institusi demokrasi kita," tegas beliau.
Penguatkuasaan dasar ini tambahnya, dengan segera akan mengukuhkan lagi komitmen kerajaan terhadap ketelusan yang baik serta mampu menjadi contoh untuk pentadbiran masa depan.
Langkah berkenaan juga ujar beliau, dijangka dapat menyumbang kepada sistem tadbir urus yang lebih bertanggungjawab dan bertindak sebagai model pendahuluan kepada kerajaan berikutnya.
“Justeru, TI-M menggesa pihak kerajaan untuk bertindak pantas dan tegas dalam mengukuhkan tahap keyakinan masyarakat ramai terhadap agenda reformasinya,” kata Muhammad. - DagangNews.com








