THMY raih saranan 'beli' oleh Rakuten menjelang penyenaraian di bursa pada 23 Oktober 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

THMY raih saranan 'beli' oleh Rakuten menjelang penyenaraian di bursa pada 23 Oktober 2025

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 OktRakuten Trade memulakan liputan ke atas THMY Holdings Berhad dengan saranan 'beli' menjelang penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Oktober 2025.


Menurut firma penyelidikan tersebut, syarikat penyedia rumusan bagi ujian automatik dan automasi industri yang berpangkalan di Pulau Pinang itu turut menerima nilai saksama 41 sen sesaham.


Tambahnya, ia berdasarkan kepada potensi kenaikan kira-kira 32% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 31 sen ketika pelancaran prospektus syarikat itu pada 29 September 2025.


"Kami menjangkakan THMY mencatatkan pendapatan teras sebanyak RM11.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26) dan RM15.2 juta pada FY27," kata Rakuten dalam notanya hari ini.


Perkembangan positif tersebut jelasnya, dipacu oleh peningkatan kadar penggunaan kemudahan sedia ada dengan unjuran pertambahan secara beransur-ansur daripada hanya sebanyak 81.6% pada FY25.


Situasi berkenaan tambah firma itu lagi, turut disokong oleh kemajuan penambahan sebanyak lapan stesen kerja pemasangan baharu di kilangnya terletak di Batu Kawan menjelang suku kedua 2026.


Dengan rekod prestasi 17 tahun kata Rakuten, segmen rumusan teknologi komunikasi maklumat kekal sebagai pemacu utama pendapatan THMY, yang merangkumi kira-kira 81% daripada jumlah hasil FY25.


"Keadaan ini mencerminkan keupayaan syarikat dalam menyediakan rumusan tersuai berkualiti tinggi selain permintaan bagi rumusan Functional Circuit Test (FCT) juga meningkat," tambah firma itu.


Pertambahan itu terutama daripada pelanggan dalam sektor teknologi, media dan telekomunikasi, tetapi sumbangan FCT ketika ini masih rendah berikutan kekangan ruang di kilang yang sedia ada.


Sebagai langkah strategik kata Rakuten, 58% daripada hasil IPO diperuntukkan bagi pembinaan kilang baharu di Taman Perindustrian Batu Kawan, menempatkan 20 stesen kerja FCT pada fasa awal.


Operasi kilang berkenaan jelas firma penyelidikan itu, dijangka bermula pada suku kedua 2029, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran dan mampu memenuhi tempahan yang berskala besar.


"Dari sudut kewangan, margin keuntungan THMY melonjak dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) tiga tahun kepada 21.9% pada FY25, dipacu peningkatan projek ujian automatik," katanya.


Rakuten turut optimis terhadap prospek pertumbuhan global industri elektrik dan elektronik (E&E), serta kekuatan syarikat dalam rumusan tersuai yang bakal menyokong ketahanan margin keuntungan.


Peningkatan sumbangan luar negara turut diperhatikan, terutama dari pasaran Taiwan dan Thailand, manakala kedudukan kewangan syarikat pula dijangka terus kukuh apabila hasil IPO dimanfaatkan.


Terbitan itu jelasnya akan mengurangkan pinjaman, menjadikan THMY berada dalam kedudukan tunai bersih daripada nisbah hutang bersih sebanyak 0.27 kali pada FY25. - DagangNews.com