KUALA LUMPUR 9 Sept – THMY Holdings Berhad memeterai perjanjian taja jamin bersama Affin Hwang Investment Bank Berhad bagi penerbitan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Syarikat penyedia rumusan ujian automatik dan automasi industri berpangkalan di Pulau Pinang dan ditubuhkan pada 2008 itu berkata, penyenaraiannya dijadualkan berlangsung pada suku keempat 2025.
Menerusi anak syarikatnya, THMY menyediakan perkhidmatan bagi produk elektrik & elektronik (E&E) termasuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan, kepada pelbagai industri pengguna akhir.
"Ini termasuk teknologi, telekomunikasi, semikonduktor, industri dan penjagaan kesihatan, dengan cadangan IPO berkenaan merangkumi sejumlah 232.7 juta saham," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia melibatkan terbitan awam sebanyak 143.9 juta saham baharu serta tawaran jualan 88.8 juta saham sedia ada, termasuk sejumlah 44.4 juta saham diperuntukkan kepada individu awam warga Malaysia.
Sementara itu, 23.5 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja, dan pihak berkepentingan strategik, manakala 53.8 juta saham untuk pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.
Sebanyak 22.2 juta saham biasa selain 88.8 juta saham menerusi tawaran jualan diberikan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) .
Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif THMY, Ooi Can Nix, pemeteraian perjanjian ini merupakan langkah penting dalam perjalanan pertumbuhan berterusan syarikat tersebut sendiri.
“Kami berhasrat untuk memperkukuh kedudukan dalam segmen ujian automatik, dipacu permintaan pesat terhadap produk E&E serta kemunculan teknologi dan infrastruktur digital lanjutan,” ujarnya lagi.
Beliau menambah, kumpulan berkenaan sedang melaksanakan rancangan strategik termasuk perluasan pangkalan pelanggan sedia ada, penembusan segmen berpotensi tinggi dan pembinaan kilang baharu.
Fasiliti itu kata Can Nix, mengandungi stesen pemasangan tambahan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, manakala penggunaan teknologi automasi lebih pintar dan efisien akan diperluaskan.
Dana diperoleh daripada IPO itu juga bakal dimanfaatkan untuk pelaburan berterusan dalam reka bentuk, serta penyelidikan dan pembangunan selain penubuhan pejabat sokongan dan penyelenggaraan.
"THMY berhasrat buat permulaan membuka pejabat berkenaan di Thailand bagi mengukuhkan kehadiran serantau dan mempercepatkan sokongan kepada ramai pelanggan di negara tersebut," kata beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Hwang, Hanif Ghulam Mohammed dalam pada itu berkata, pihaknya amat berasa bangga dapat bekerjasama erat dengan THMY dalam menjayakan proses penyenaraian tersebut.
Kata beliau, pihaknya juga cukup komited untuk menyokong pertumbuhan syarikat teknologi tempatan seperti THMY yang dikenal pasti mempunyai banyak potensi besar di peringkat serantau dan global.
Affin Hwang tambahnya, akan bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal bagi IPO tersebut. - DagangNews.com








