KUALA LUMPUR 23 Feb – THMY Holdings Berhad mencatat pertumbuhan kukuh bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (3QFY26) dengan hasil yang meningkat 21.7 peratus kepada RM17.2 juta berbanding suku sama sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia rumusan ujian automatik dan automasi industri itu berkata untung kasarnya meningkat 22.5 peratus kepada RM8.1 juta, manakala untung sebelum cukai dan untung selepas cukai masing-masing mencatat RM3.6 juta dan RM2.3 juta.
“Selepas pelarasan kos satu kali berkaitan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) berjumlah RM1.8 juta, PBT diselaraskan THMY meningkat 19 peratus kepada RM5.4 juta.
“Sumber utama pendapatan datang daripada penyelesaian in-circuit test (ICT) dan functional circuit test (FCT) yang menyumbang 85.6 peratus dan 13.2 peratus daripada jumlah pendapatan suku berkenaan,” kata THMY dalam makluman tersebut.
Secara kumulatif bagi 9 bulan pertama tahun kewangan, THMY mencatat pendapatan RM45.5 juta, untung kasar RM20.8 juta, PBT RM11.8 juta dan PAT RM9.1 juta.
PBT diselaraskan untuk tempoh sama ialah RM13.6 juta, melepasi keuntungan penuh bagi tahun kewangan 2025.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif THMY Ooi Can Nix berkata prestasi positif syarikat dijangka berterusan disokong oleh kekuatan ekosistem pembuatan elektronik dan elektrik serta permintaan yang meningkat bagi ujian kompleks terutama dalam automotif dan pembuatan industri.
“Hasil IPO akan digunakan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan menyokong strategi pertumbuhan syarikat bagi suku akan datang,” katanya.
Syarikat itu mempunyai pengalaman 18 tahun dan operasi merangkumi Thailand, Amerika Syarikat, China, Singapura serta Taiwan. - DagangNews.com








