KUALA LUMPUR 8 Okt – Meskipun asas pertumbuhan kukuh dalam rumusan ujian automatik industri, THMY Holdings Berhad tidak terlepas daripada dua risiko yang paling ketara, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia melibatkan cabaran ketidaktentuan kadar tukaran mata wang asing dan ketiadaan langsung jaminan kesinambungan tempahan masa depan daripada pelbagai pelanggan.
Jelasnya, dengan kebergantungan terlalu tinggi kepada pasaran eksport, terutama Amerika Syarikat (AS), serta benua Eropah dan rantau Asia Pasifik, risiko syarikat itu memang terdedah amat luas.
"Turun naik mata wang asing berpotensi menjejaskan margin keuntungan, manakala kekurangan tempahan jangka panjang boleh mencetuskan ketidakstabilan hasil," kata TA Securities dalam nota kajiannya.
THMY ketika ini sedang melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) yang melibatkan 143.9 juta saham baharu dan 88.8 juta saham sedia ada untuk jualan dengan menawarkan harga hanya 31 sen sesaham.
Penyedia rumusan ujian automatik dan automasi industri yang ditubuhkan pada 2008 dan berpangkalan di Pulau Pinang itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 23 Oktober 2025.
Mengulas lanjut, TA Securities berkata, kebergantungan besar kepada eksport mendedahkan ia kepada turun naik kadar tukaran mata wang asing terutama transaksi dolar AS dan euro Kesatuan Eropah.
"Ini boleh memberi impak langsung terhadap margin syarikat, sementara ketiadaan sebarang tempahan jangka panjang boleh membawa kepada gangguan hasil dalam suku-suku akan datang," kata firma itu.
Bagaimanapun, THMY masih ada kekuatan daya saing bersandarkan rekod 17 tahun bermula pembangunan perisian dalaman, sebelum berkembang menjadi penyedia rumusan lengkap automasi industri teknologi.
Ia juga menawarkan rumusan tersuai pelanggan dengan keupayaan kejuruteraan dalaman membolehkan penyampaian projek secara lebih cepat dan terkawal sepenuhnya dari aspek kualiti serta tempoh masa.
Syarikat itu juga dipimpin Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ooi Can Nix, yang berpengalaman lebih dua dekad dalam bidang automasi ujian, bersama pasukan pengurusan pelbagai latar belakang profesional.
"Walaupun hasil FY24 susut 3.9% kepada RM31.2 juta, keuntungan teras melonjak 106.1% kepada RM5.5 juta disebabkan penurunan kos bahan mentah dan perbelanjaan pentadbiran," kata TA Securities.
Pada FY25, pendapatan melonjak 47.1% kepada RM45.9 juta, dan keuntungan bersih meningkat 128.0% kepada RM12.5 juta, dipacu kemasukan pelanggan baharu sektor teknologi dan peningkatan jualan.
Berdasarkan perkembangan semasa, ia menilai saham THMY pada nilai wajar 37 sen, bersandarkan 20 kali ganda unjuran perolehan setiap saham (EPS) pada 2026 yang lebih baik. - DagangNews.com








