KUALA LUMPUR 15 April – Theta Edge Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama PT Qiwary Solusi Finansiaku bagi meneroka potensi pembangunan dan pelaksanaan platform pengurusan digital Haji di Indonesia.
Perjanjian yang ditandatangani melalui anak syarikat milik penuhnya, Theta Innovation Sdn Bhd pada 13 April 2026 itu adalah langkah strategik Theta Edge untuk memperluaskan kehadiran ke pasaran Indonesia, khususnya dalam ekosistem perkhidmatan Haji dan Umrah yang merupakan antara terbesar di dunia.
MoU tersebut memberi tumpuan kepada fasa penilaian pra-komersial bagi platform Hajj Mobility dan PilgrimPro, termasuk demonstrasi sistem, sesi perbincangan kumpulan fokus serta analisis keperluan operasi dan peraturan.
Dalam kerangka kerjasama itu, Theta Innovation akan menyediakan input teknikal, demonstrasi sistem serta maklumat bukan proprietari bagi tujuan penilaian kebolehlaksanaan platform di Indonesia.
Sementara itu, Qiwary Solusi Finansiaku akan bertindak sebagai rakan tempatan yang memudahkan akses kepada pihak berkepentingan termasuk kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan proses libat urus berjalan lancar.
Selain itu, Qiwary turut memperuntukkan dana sebanyak RM1 juta bagi menyokong aktiviti penilaian termasuk kajian kebolehlaksanaan, penglibatan pihak berkepentingan dan kerja-kerja persediaan awal, walaupun ia tidak diklasifikasikan sebagai hasil kepada Theta pada peringkat ini.
MoU itu turut memberi peluang kepada Qiwary untuk menjadi rakan eksklusif bagi penilaian projek di Indonesia untuk tempoh sehingga satu tahun, dengan lanjutan tiga bulan lagi bergantung kepada sejauh mana Qiwary berjaya mencapai sasaran kerja yang ditetapkan serta memenuhi komitmen kewangan yang dipersetujui kedua-dua pihak.
Dari sudut harta intelek, Theta Edge menegaskan semua hak milik berkaitan platform Hajj Mobility dan PilgrimPro kekal di bawah pemilikan penuh Theta Innovation tanpa sebarang pindaan atau pemindahan hak.
Langkah ini dilihat sebagai strategi awal Theta Edge untuk menilai potensi pengembangan serantau di Indonesia, yang mempunyai populasi jemaah Haji antara terbesar di dunia, sekali gus membuka peluang pendigitalan pengurusan ibadah berskala besar.
Bagaimanapun, syarikat menegaskan bahawa MoU ini tidak mempunyai impak kewangan serta-merta terhadap pendapatan atau kedudukan kewangan kumpulan, selain menekankan risiko pelaksanaan termasuk aspek regulasi, pembiayaan serta ketidakpastian perjanjian muktamad. - DagangNews.com








