KUALA LUMPUR 4 Feb – Mudajaya Group Bhd memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk menggulung THB Power Sdn Bhd selepas pengeluar tenaga bebas itu sekali lagi gagal menjelaskan bayaran tranche terakhir berjumlah RM27.9 juta termasuk faedah.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Mudajaya berkata bayaran tersebut sepatutnya dibuat sebelum 28 Januari 2026 di bawah pengaturan penyelesaian antara kedua-dua pihak, namun tidak diterima pada tarikh tersebut.
“THB Power sebelum ini mengakui ada berhutang dengan Mudajaya Corporation Bhd, anak syarikat milik penuh kumpulan, sebanyak RM52.67 juta.
“Ini merupakan kali kedua THB Power gagal menjelaskan tranche terakhir berkenaan selepas terlepas tarikh akhir terdahulu pada 29 Ogos 2025,” katanya dalam makluman tersebut.
Mudajaya memaklumkan mahkamah menyampaikan keputusan itu pada Rabu lalu dan membenarkan petisyen penggulungan yang difailkan pada Februari 2025.
Susulan keputusan tersebut, THB Power telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan serta permohonan untuk menggantung perintah penggulungan.
Tarikh pendengaran bagi kedua-dua permohonan itu masih belum ditetapkan.
Menurut Mudajaya, petisyen tersebut berpunca daripada tunggakan bayaran RM60.63 juta bagi kerja-kerja penyediaan tapak yang disiapkan Mudajaya Corporation pada Jun 2022 bagi projek loji jana kuasa gas berkapasiti 1,200 megawatt milik THB Power di Gurun, Kedah.
Nilai keseluruhan kontrak itu berjumlah RM104.47 juta.
Petisyen penggulungan dibuat susulan keputusan adjudikasi pada April 2024 dan perjanjian penyelesaian tambahan yang dimeterai pada Oktober 2024.
Namun butiran lanjut berkaitan kedua-duanya tidak didedahkan.
Mudajaya sebelum ini telah menerima tranche pertama berjumlah RM27.33 juta termasuk faedah pada pertengahan 2025.
Sementara itu, baki pertikaian sebanyak RM7.95 juta masih tertakluk kepada rundingan lanjut atau kemungkinan tindakan undang-undang berasingan.
Kumpulan itu berkata selain kegagalan menerima bayaran tranche terakhir RM27.9 juta, tiada kesan kewangan tambahan dijangka pada peringkat ini dan pihaknya akan terus mematuhi undang-undang serta bekerjasama dengan semua pihak berkaitan bagi mendapatkan semula jumlah tertunggak. - DagangNews.com








