Tex Cycle lengkapkan pengambilalihan SEL, jaminan keuntungan RM2 juta pada FY24 dan FY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tex Cycle lengkapkan pengambilalihan SEL, jaminan keuntungan RM2 juta pada FY24 dan FY25

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 SeptTex Cycle Technology (M) Berhad berjaya melengkapkan pengambilalihan sebanyak 60% ekuiti dalam Safety & Environmental Laboratory Sdn Bhd (SEL) bernilai RM8.4 juta.


Penyedia rumusan pengurusan sisa dan kitar semula dengan pengalaman lebih 40 tahun itu berkata, ia diselesaikan setelah semua syarat terdahulu di bawah Perjanjian Jual Beli Saham (SSA) dipenuhi.


Dengan transaksi kini bersifat tanpa syarat, SEL secara rasmi menjadi sebahagian operasi kumpulan itu, dan membuka ruang sinergi baharu dalam pengurusan sisa terjadual dan pematuhan alam sekitar.


Pengambilalihan ini turut merangkumi jaminan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM2 juta bagi tahun kewangan 2024 dan 2025, serta nilai aset ketara bersih sekurang-kurangnya RM4.4 juta.


"Langkah tersebut juga menandakan kekukuhan kedudukan kewangan SEL sendiri dan potensi penjanaan nilai kepada para pemegang saham Tex Cycle," kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tex Cycle, Gary Dass Anthony Francis berkata, penyertaan SEL membolehkan kumpulan meluaskan kepakaran dan memasuki segmen pasaran baharu.


SEL tambah beliau, memiliki reputasi kukuh dalam perkhidmatan pemantauan keselamatan dan alam sekitar, rumusan kejuruteraan, ujian makmal dan program latihan yang diakui berkualiti.


"Gabungan ini turut akan mempercepatkan lagi momentum pertumbuhan kami serta mengukuhkan komitmen terhadap agenda kelestarian negara,”* kata beliau dalam kenyataan syarikat tersebut.


Pengambilalihan berkenaan juga jelas Gary Dass, selari dengan strategi pertumbuhan Tex Cycle yang berhasrat menggabungkan pengembangan organik dan usaha pengambilalihan secara strategik.


Situasi tersebut kata beliau, khususnya dalam bidang pengurusan sisa, pematuhan alam sekitar dan tenaga boleh diperbaharui menerusi kilang moden syarikat berkenaan di Klang, Selangor.


Langkah ini dijangka memperkukuh kedudukan Tex Cycle dalam memenuhi permintaan yang meningkat terhadap penyelesaian alam sekitar lestari di Malaysia dan rantau ini. - DagangNews.com