KUALA LUMPUR 11 Jun — Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) merancang untuk membina Terminal Petroleum Utara (NPT) dan akan dibangunkannya bersama-sama di bawah pelan induk Pelabuhan Pulau Pinang yang sedang dirangka.
Pengerusinya, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, terminal itu akan dibina bersambung dengan kawasan pelabuhan dan beroperasi sebagai kemudahan penyimpanan petroleum pukal yang direka untuk menampung kapal tangki kelas jarak sederhana.
Beliau berkata, pembangunan NPT itu akan dilaksanakan suruhanjaya tersebut secara serentak dengan projek pembesaran Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di Seberang Perai yang melibatkan tanah tebus guna berkeluasan 322.83 hektar.
“Cadangan pembangunan ini selaras dengan pelan induk Pelabuhan Pulau Pinang yang dimajukan oleh SPPP,” katanya dalam satu kenyataan bersempena lawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ke pelabuhan tersebut semalam.
Soon Hin berkata, pelan berkenaan termasuk menaik taraf infrastruktur di terminal feri Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) dengan konsep moden untuk meningkatkan keselesaan para pengunjung, yang akhirnya meningkatkan lagi produktiviti operasi.
Beliau berkata kawasan komersial itu akan memiliki tempat letak kereta terbuka, dek balai cerap pemandangan laut, pusat makanan dan minuman, jambatan taman, dan pelbagai aktiviti yang berpotensi menarik ramai pelancong.
Selain itu, beliau berkata, dermaga Terminal Swettenham Pier di George Town akan diperbesarkan lagi untuk membolehkan kapal persiaran kelas Oasis dapat berlabuh serentak dengan kapasiti maksimum mencecah 12,000 penumpang.
“Selain itu, perkhidmatan feri juga akan ditambah baik dengan perolehan empat feri baharu manakala naik taraf terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim dan PRTU bagi menambah baik kesalinghubungan pengangkutan awam,” kata Soon Hin.
SPPP juga tambah beliau, telah melaksanakan sistem pengurusan trafik perkapalan, dengan mengubah kaedah kawalan manual kepada sistem yang lebih cekap bagi memastikan persekitaran operasi maritim menjadi cukup selamat.
Selain mengendalikan kargo diimport dan dieksport melalui laut, beliau berkata, ia juga menguruskan kargo melalui pengangkutan rel, dengan kapasiti rel 561 meter di NBCT untuk mengendalikan sehingga 33 gerabak pada satu-satu masa.
Kerajaan Persekutuan katanya, telah merancang untuk memanjangkan rel kepada 1,051 meter, yang akan membolehkan 50 gerabak dikendalikan pada satu-satu masa, dan sedang diusahakan dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan.
Loke dalam lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang semalam diberi taklimat mengenai rancangan pembangunan Pelabuhan Pulau Pinang, melawat menara kawalan trafik, dan mengunjungi Muzium Feri Pulau Pinang di Marina Tanjong City. - DagangNews.com








