KUALA LUMPUR 9 Jun — Kompleks Tenaga Pengerang (PEC) yang akan disepadukan secara strategik dalam Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), dijangka memanfaatkan jarak dekat dan ketersambungan ke Terminal Air Dalam Pengerang (PDT).
Operator PEC, Pengerang Energy Complex Sdn Bhd berkata, pihaknya melihat kemudahan yang telah beroperasi sejak 2014 itu sejajar dengan Program Transformasi Ekonomi Malaysia bagi menyokong cita-cita negara menjadi hab minyak, gas dan petrokimia serantau.
PDT tambahnya, amat bersesuaian digunakan kerana ia bukan sahaja sebuah pelabuhan, malahan memiliki segala kemudahan penyimpanan selaras standard generasi akan datang dan diiktiraf sebagai projek pertama yang seumpamanya di rantau Asia Tenggara.
"Kemudahan perairan dalam di PDT terlindung secara semula jadi yang terletak di sepanjang laluan perkapalan utama di Asia Tenggara dan pada masa ini mengendalikan 20 dermaga," katanya dalam kenyataan bersama dengan ChemOne Group dari Singapura
Fasiliti itu tambahnya, memiliki jeti sedalam 24 meter yang mampu menampung kapal Pengangkut Mentah Sangat Besar (VLCC) dan Q-Max LNG yang sarat penuh, kerana terminal itu sendiri direka khusus untuk proses pengembangan secara berperingkat.
Apabila dibangunkan sepenuhnya, PDT dijangka menjangkau keluasan 486 hektar dengan dermaga tambahan dan kemudahan terminal selain disepadukan bersama PEC yang terletak berhampiran laluan perkapalan utama seperti Selat Melaka dan Selat Singapura.
Kedudukan itu katanya, membolehkan eksport dihantar mudah ke seluruh dunia dan dipertingkatkan dengan lokasi strategik bersebelahan hab perdagangan minyak serantau di Singapura, yang membolehkan peningkatan rantaian bekalan petrokimia global.
"Akses kepada terminal air dalam yang termaju ini menjadikan kami di PEC menjadi lebih cekap serta berkesan, kerana dapat secara mudah mengeksport meluas pelbagai barangan ke dan dari kebanyakan negara di pasaran antarabangsa," katanya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PEC, Alwyn Bowden, faktor itu penting kerana eksport mereka merangkumi produk aromatik seperti paraxylene, serta blok binaan penting untuk pengeluaran poliester dan plastik, manakala jeti air dalam membolehkan bahan mentah seperti kondensat mentah diimport dengan mudah.
"Projek PEC dijangka menjana memberi banyak manfaat ekonomi dengan begitu ketara, termasuk pemindahan teknologi, peluang pekerjaan dan aliran perdagangan yang dipertingkatkan," kata beliau dalam kenyataan tersebut.
ChemOne Group sebagai konglomerat petrokimia, tenaga hijau dan sumber asli yang berpangkalan di Singapura,, serta pemaju induk PEC, seterusnya menambah bahawa perbincangan berkaitan projek sedang berjalan dengan baik. - DagangNews.com








