Terengganu tarik minat EU teroka kerjasama dalam petrokimia, REE, ekonomi hijau dan pendigitalan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu tarik minat EU teroka kerjasama dalam petrokimia, REE, ekonomi hijau dan pendigitalan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 6 Julai – Kesatuan Eropah (EU) menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan Terengganu dalam bidang petrokimia, nadir bumi (REE), ekonomi hijau dan pendigitalan kerana mempunyai potensi besar untuk pelaburan dan pembangunan industri masa depan.

 

Duta EU ke Malaysia, Rafael Daerr berkata sektor REE yang kini menjadi komponen kritikal dalam pembangunan teknologi global termasuk semikonduktor, bateri tenaga dan industri berteknologi tinggi.

 

“Dalam masa sama, pembangunan ekonomi hijau turut menjadi fokus khususnya dalam usaha memperkukuh penggunaan tenaga yang lebih cekap, pengurangan pelepasan karbon serta pembangunan industri yang lebih mampan dan mesra alam.

 

“Hubungan perdagangan sedia ada di Malaysia sangat bermakna merangkumi pelbagai bidang daripada semikonduktor elektronik kepada peralatan industri. Kerjasama yang terjalin sangat kukuh dalam bidang yang mempunyai kepentingan kritikal dan strategik seperti semikonduktor. 

 

“Tetapi terdapat juga bidang yang kami mahu lihat dengan lebih dekat, contohnya bidang bahan mentah kritikal (REE) di mana kami melihat banyak potensi untuk bekerjasama, begitu juga dengan ekonomi hijau dan pendigitalan di Terengganu,” katanya.

 

Perkara itu dizahirkan oleh Duta EU ke Malaysia, Rafael Daerr ketika mengetuai delegasi duta-duta negara anggota EU dalam lawatan rasmi ke Terengganu bagi meninjau peluang pelaburan dan kerjasama ekonomi di peringkat negeri.

 

Terdahulu, beliau menghadap  Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah dekat Chendering sebelum hadir ke taklimat bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Wisma Darul Iman.

 

t

 

t

 

Tambahnya, antara sektor yang menjadi tumpuan utama EU ialah industri petrokimia yang telah lama menjadi antara tunjang ekonomi Terengganu dengan potensi untuk diperkukuh melalui pemindahan teknologi, pelaburan baharu serta rantaian bekalan yang lebih bersepadu.

 

Selain itu, jelasnya aspek pengurusan air turut diberi perhatian, meliputi pengurusan air sisa, kecekapan penggunaan sumber air serta langkah mitigasi banjir yang semakin penting dalam mendepani cabaran perubahan iklim.

 

Dalam lawatan tersebut, delegasi EU turut menerima taklimat menyeluruh daripada pihak pembangunan negeri mengenai pelan ekonomi dan projek strategik Terengganu yang berpotensi untuk diteroka bersama pada masa hadapan.

 

Beliau berkata, terdapat lebih 2,000 syarikat Eropah di Malaysia yang mencerminkan keyakinan pelabur EU terhadap kestabilan ekonomi negara.

 

“Pendekatan pelaburan kami bukan sekadar membawa modal, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja tempatan serta pemindahan kemahiran dan teknologi.

 

“Lawatan ke Terengganu ini mencerminkan komitmen EU untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Malaysia melalui sektor ekonomi berimpak tinggi, teknologi moden dan pembangunan mampan yang memberi manfaat bersama dalam jangka panjang,” katanya. - DagangNews.com